Taman Arkeologi Santubong bakal dilobi sebagai Tapak Warisan Dunia

KUCHING: Taman Arkeologi Santubong yang kini sedang dibangunkan oleh Jabatan Muzium Sarawak berpotensi menjadi tarikan dunia, terutamanya penggemar sejarah.

Muncul sebagai taman seumpamanya yang kedua di negara ini, selepas Lembah Bujang, Santubong akan mengimbau sejarah Sarawak hingga ke abad ke-5, dipercayai sebelum kedatangan Islam ke negeri ini.

“Kerana kepentingan itu, maka kita mensasarkan Taman Arkeologi Santubong akan menjadi Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) apabila ia siap sepenuhnya pada tahun 2020,” kata Kurator Muzium Sarawak, Dr Charles Leh pada sesi taklimat yang diadakan di Kampung Santubong pagi semalam.

Katanya, pembangunan Taman Arkeologi Santubong akan melibatkan sebelas tapak arkeologi termasuk Sungai Jaong, Bongkissam, Sungai Buah, Kampung Santubong, Batu Buaya dan Makan Sultan Tengah.

“Ia melibatkan peruntukan berjumlah RM6 juta ringgit untuk membina pelbagai kemudahan dan prasarana, termasuk menaik taraf banglo Brooke sebagai Pusat Alam Semulajadi Wallace.

Sementara itu, Menteri Muda Kemudahan Awam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi turut menyambut baik projek kerajaan tersebut.

“Ia membolehkan penduduk kampung terlibat secara langsung dengan Taman Arkeologi pertama di Sarawak ini dan mereka boleh mengikuti latihan daripada pihak muzium untuk menjadi pemandu pelancong.

Berkaitan isu Bukit Maras yang terjejas oleh Projek Skim Pembesaran Kampung Santubong, Abdul Rahman berkata isu tersebut telah pun selesai.

“Projek yang dilaksanakan kini sebenarnya tidak melibatkan tapak utama yang dieskavasi oleh Tom Horrison dan isterinya pada tahun 1950-an.

“Sebahagian besar artifak telah berjaya diselamatkan sewaktu proses eskavasi tersebut.

Pun begitu katanya, atas dasar kebertanggungjawaban, kerana dipercayai masih sebahagian kecil artifak yang berbaki di sini, pihak Jabatan Muzium Sarawak akan melaksanakan eskavasi susulan pada hujung bulan ini sebelum menyerahkan tapak tersebut untuk diteruskan projek pembangunan. – Sarawakvoice