Suami marah, arah lori tuang simen penuh dalam kereta kesayangan isteri

ST PETERSBURG: Kesal dan marah dengan tindakan isterinya mengubah nama tengahnya dengan nama pasar raya, si suami bertindak ektrem memasukkan bancuhan simen ke dalam kereta kesayangan isterinya.

Lelaki St. Petersburg, Rusia itu geram dengan perangai isterinya yang tidak mendapatkan izinnya menukar nama tengah tersebut kepada “Veniy” demi mendapatkan ganjaran wang 50,000 rubels (RM3,900) sebulan daripada sebuah pasar raya.

Dalam bahasa Rusia, “veniy” bermakna “setia”.

Pasar raya Veniy sebelum ini membuat promosi memberi ganjaran kepada pelanggan setia yang sedia menggantikan namanya secara sah sebagai sebahagian daripada strategi pemasaran.

Lelaki berkenaan memandu kereta isterinya kemudian memarkirkan kereta tersebut di hadapan pasar raya Veniy.

Dia kemudian mengarahkan pemandu lori menempatkan corong melalui jendela kereta merah berkenaan kemudian memintanya memasukkan bancuhan simen penuh setinggi tingkap kereta berkenaan.

https://www.youtube.com/watch?v=0o-RYLqiszQ

Rakaman video kejadian tersebut viral di media sosial dan ditonton lebih 2.4 juta kali dan disukai 25,826 kali oleh netizen.

Menurut Oddity Central pada Selasa, sebelum ini pasangan suami-isteri ini memang kerap bertengkar.

Selama ini si isteri amat menyayangi kereta tersebut sehingga mengelaknya daripada tergores sedikit pun.

Tidak hanya viral, aksi lelaki tersebut menuai banyak reaksi netizen.

Beberapa netizen mengecam aksi lelaki berkenaan, mengingatkan bahawa wang bukan segala-galanya.

Terdapat netizen cuba menakut-nakutkan lelaki berkenaan bahawa dia dan pemandu trak boleh dipenjara kerana kelakuan itu.

Ada juga menganggap ini merupakan aksi jahil yang menjadi sebahagian daripada strategi promosi lainnya dari pasar raya Veniy. – Sarawakvoice