Sindiket edar dadah antarabangsa tumpas di Kuching, lelaki Nigeria antara dicekup

KUCHING: Kerjasama dan maklumat orang awam berjaya membantu Polis Sarawak menangkap dua individu, sekali gus melumpuhkan satu sindiket dadah antarabangsa pada 13 April lalu.

Ketua Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latiff berkata, sindiket ini dipercayai aktif beroperasi di negeri ini sejak akhir tahun lalu.

“Tangkapan pertama melibatkan seorang wanita tempatan berusia 25 tahun yang ditahan di pejabatnya di Jalan Rock di sini sekitar jam 1.50 petang.

“Dan hasil tangkapan itu, pasukan yang terlibat berjaya menjejak seterusnya menahan seorang lelaki warga Nigeria berusia 28 tahun di Jalan Satok, sekitar jam 4.50 petang hari yang sama,” katanya dalam sidang media khas di Bilik Media IPK Sarawak pagi tadi.

Sahar menambah, serbuan dilakukan selepas wanita itu menerima bungkusan yang dikirim menggunakan nama dan alamatnya.

“Susulan pemeriksaan ke atas bungkusan Poslaju terbabit, polis menemui dan merampas 962 gram syabu dan 1,299 pil ekstasi yang dibalut dengan kertas aluminium sebelum diletakkan dalam lipatan pakaian dan bungkusan Milo,” katanya.

Kesemua dadah tersebut dianggarkan bernilai sekitar RM347,300.

Lelaki Nigeria terbabit kata Sahar, merupakan seorang pelajar kolej swasta di sini.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, polis Sarawak telah menyiasat 88 kes dan membuat 122 tangkapan berkaitan pengedaran dadah berbanding 82 kes dan 154 tangkapan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Untuk kes pemilikan dadah pula, 562 tangkapan dibuat pada Januari hingga  Mac lepas berbanding 462 tangkapan dalam tempoh yang sama pada 2016.

Dari segi rampasan pula, sebanyak 5,835.15 gram ganja dirampas pada tiga bulan pertama tahun ini, dengan 2,409 gram adalah rampasan syabu, ketamin 400.62 gram, pil ekstasi 4,148 biji dan eramin 5 sebanyak 940biji. – Sarawakvoice