Sarawak yang unik, lain daripada yang lain

Keharmonian kaum di Sarawak adalah kerana sifat kepunyaan dan sifat penerimaan yang kuat.

Semasa saya menghadiri sesi meja bulat anjuran Yayasan Perpaduan Sarawak pada 5 April lepas, saya diberikan soalan apa yang unik di Sarawak ini yang tidak ada pada tempat lain.

Apa yang saya boleh nyatakan ialah rakyat Sarawak mempunyai sifat kepunyaan (sense of belonging) dan sifat menerima (sense of acceptence) yang tinggi.

Mereka membawa sifat ini di mana-mana mereka berada sama ada di Sarawak mahupun ketika merantau di luar.

Kadangkala orang boleh tafsirkan ini sebagai sifat kenegerian yang sama seperti orang orang Kelantan atau Johor. Namun saya melihat ia adalah jati diri bukan sifat kenegerian semata-mata.

Sifat kepunyaan dalam kalangan masyarakat Sarawak sangat kuat. Apa apa yang dimiliki atau beridentiti Sarawak adalah milik bersama dan mereka bangga dengannya.

Saya sendiri lebih suka kicap Kipas Udang berbanding kicap Tamim walaupun Tamim dibuat di Batu Gajah, Perak.

Tetapi kicap Tong Nam merupakan kicap orang Sarawak. Boleh dikatakan setiap rumah memiliki kicap ini. Itu baru bab kicap belum lagi belacan.

Belacan Bintulu atau belacan Tambirat akan dibawa ke Malaya walaupun di sana belacan Melaka pun banyak. Gula apong pula paling sedap bagi masyarakat di sini. Saya katakan gula Melaka juga sedap…maka berpolemiklah kami.

Saya pula suka menyakat, ternyata kesetiaan orang Sarawak terhadap gula apong sangat tinggi. Begitulah sifat kepunyaan orang Sarawak terhadap apa apa yang beridentitikan Sarawak.

Tidak kira Iban, Melayu, Cina dan kaum-kaum lain sebanyak 27 kaum…semua mampu bersatu di bawah produk Sarawakian.

“Sense of acceptance” juga menjadi asas perpaduan Sarawak. Sifat menerima ini jelas dilihat daripada perkahwinan campur dalam kalangan masyarakat Sarawak.

Boleh dikatakan keluarga di Sarawak ini terdiri daripada pelbagai kaum. Dalam kaum Melayu ada menantu Iban, Bidayuh atau Cina.

Dalam masyarakat Iban ada ipar duai Melanau, Melayu dan lain lain. Sifat keterbukaan dalam menerima kaum lain menjadi keluarga mereka sangat menakjubkan.

Apabila saya bersembang dengan rakan-rakan Iban, mereka akan memberitahu.. bisi menjadi aku kawin enggau melayu cikgu (ada adik-beradik dia yang kawin dengan Melayu).

Ternyata mereka menerima dengan baik kehadiran kaum yang berbeza dengan mereka dalam keluarga.

Malah saya masih ingat semasa saya mula datang mengajar di Sarawak saya suka membaca ruangan obituari dalam akhbar lokal.

Bukan suka berita kematian tetapi saya banyak belajar bahawa dalam iklan obituari itu akan terpampang nama-nama keluarga yang ditinggalkan oleh si mati.

Kalau yang meninggal itu Iban, ada nama Melayu atau Cina dalam keluarga yang ditinggalkan, begitu juga Cina dan sebagainya.

Malah tulisan jawi lebih dimartabatkan di Sarawak. Lihat sahaja Wisma Sanyan di Sibu yang majoritinya dimonopoli kaum Cina. Tulisan jawi terletak di puncak bangunannya.

Lihat sahaja dewan gereja Sekolah St Teresa, ada verse bible yang ditulis dalam tulisan jawi. Orang Sarawak menerima jawi dengan baik pada zaman dahulu malah mengekalkannya hingga kini.

Kalau di Semenanjung, ini akan jadi isu besar yang dimomokkan untuk menjejaskan perpaduan kaum.

Demikian juga dengan kehadiran orang Semenanjung yang berkhidmat sini — mereka akan menerima dengan tangan terbuka asalkan kita pandai hormati adat dan budaya mereka.

Itulah keunikan masyarakat Sarawak yang berjaya mengekalkan keharmonian kaum.

Semoga Sarawak terus harmoni, bersatu dalam kepelbagaian dan perbezaan namun sejajar memartabatkan nilai sejagat sebagai alat perpaduan kaum.

* Cikgu Emmet merupakan seorang guru di sebuah Sekolah menengah di Sri Aman, juga seorang penulis dan motivator