Sarawak labur RM8.8 bilion jalankan projek metanol

KUALA LUMPUR: Dalam mentransformasi ekonomi Sarawak, perhatian untuk melanjutkan rantaian nilai hiliran minyak dan gas sangat berpengaruh menjadikan negeri ini hab petrokimia serantau.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg mengumumkan Sarawak menjalankan projek metanol dan metanol derivatif.

Kilang pertama bahan ini bernilai AS$800 juta (RM3.52 bilion) dijangka siap menjelang 2021.

Memetik Bernama Abang Johari berkata, dengan mengarah kepada hiliran, banyak produk mampu memberi impak besar kepada ekonomi negeri.

Selain itu, projek tersebut mampu mewujudkan peluang kerja yang banyak kepada rakyat Sarawak, selain mewujudkan kesan positif yang lain seperti logistik dan penyelenggaraan.

Pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) tiga pihak untuk projek tersebut pada Selasa, Abang Johari berkata, kompleks yang dimiliki 100 peratus Kerajaan Sarawak itu dibina di tapak 80.9 hektar di Bintulu, berhampiran Taman Perindustrian Samalaju.

Kilang berkenaan menghasilkan sehingga 5,000 tan metrik metanol sehari.

MoU untuk Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) ditandatangani antara badan kerajaan Sarawak, Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak (YHBS) dan konsortium antara China Huanqiu Contracting and Engineering Co Ltd (HQC) dan MACfeam Sdn Bhd, anak syarikat Pegasus Diversified Bhd.

Manakala, Pengarah MACfeam, Datuk Ismail Mohamed memberitahu Bernama, keseluruhan projek bernilai lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion) dan diperoleh daripada kerajaan China.

Projek ini mengandungi tiga kilang dan dibangunkan dalam dua fasadengan pemindahan teknokogi kepada pekerja tempatan diuruskan MACfeam.

Kilang berkenaan dijangka siap dalam tempoh 7 hingga 20 tahun, dan dibangunkan di bawah projek Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 China atau inisiatif Satu Jalur, Satu Jalan. – Sarawakvoice