Samarahan dilanda banjir besar, bantuan pasukan SAR antarabangsa diaktifkan

KOTA SAMARAHAN: Deruan helikopter Nuri TUDM, enjin bot penyelamat dan siren ambulans Angkatan Tentera Malaysia, Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam silih berganti membawa keluar mangsa yang terperangkap dan cedera ke Hospital Medan Tentera dalam tragedi banjir besar yang melanda Samarahan pagi semalam.

Dua mangsa yang cedera kemudian dikategorikan berada dalam tahap merah, enam mangsa di kategori kuning manakala enam lagi dikategorikan hijau atau cedera ringan.

Begitulah senario simulasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilaksanakan dalam Eksesais Pacific Partnership 2017 (PP17) yang berlangsung di Tasik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Latihan medan ini merupakan sebahagian daripada modul dan aktiviti PP17 anjuran Markas Angkatan Bersama yang turut disertai angkatan tentera negara asing seperti Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan dan Australia.

Divisyen Pertama Infantri Malaysia bertanggungjawab dalam pelaksanaan ekasesais tersebut.

Aktiviti berbentuk latihan medan ini memfokuskan situasi bantuan kemanusiaan semasa bencana alam.

Tumpuan diberikan untuk menguji tahap kerjasama dan koordinasi pelbagai pasukan perubatan dan menyelamat daripada pelbagai negara serta agensi yang menguruskan bencana seperti NADMA, SMART, pasukan perubatan Hospital Umum Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, PDRM serta beberapa agensi lain.

Seramai 130 individu terlibat dalam menjayakan fasa latihan medan tersebut.

Pada akhir latihan ini diadakan sesi refleksi bagi menilai penambahbaikan jika latihan seperti ini diadakan pada masa akan datang atau keadaan sebenar berlaku.

Ia bukan sahaja menambah pengetahuan mencari dan menyelamat dalam kalangan negara yang terlibat malah menguji keberkesanan kerjasama pelbagai agensi tempatan yang menepati matlamat Strategik Lautan Biru Kebangsaan.

Latihan ini juga memenuhi objektif yang ditetapkan iaitu kemampuan operasi bersama di antara agensi di Malaysia dan di antara negara.

Objektif kedua ialah menilai prosedur operasi standard operasi SAR sedia ada dan pelaksaan prosedur tersebut.

Manakala objektif terakhir adalah memperkukuh diplomasi kerjasama pertahanan antara negara.

Turut hadir menyaksikan latihan medan tersebut ialah Timbalan Pengarah Ekspedisi Kombat Tentera Laut Amerika Syarikat, Rear Admiral Darren J.Hanson, Pengarah Eksesais, Kolonel Isa Daud dan Ketua Staf Eksesais Pacific Partnership 2017, Kolonel (Dr) Saravanan Anamalai. – Sarawakvoice