Projek methanol bakal jadikan Sarawak hab petrokimia – Abang Jo

KUALA LUMPUR: Projek methanol dan derivatif methanol Sarawak memainkan peranan penting dan signifikan dalam menjayakan transformasi ekonomi Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menjelaskan, ia akan membolehkan negeri ini terlibat dalam aktiviti hiliran rangkaian nilai minyak dan gas seterusnya menjadikan negeri ini hab petrokimia di rantau ini.

Tegasnya, loji pertama berkait projek ini dijangka siap pada tahun 2021 dengan kos AS$800 juta.

“Kita mesti terlibat dalam projek hiliran ini. Kita tidak boleh sekadar menjadi penonton dan pengguna tenaga.

“Apabila kita menyertai projek hiliran ini, hasil sampingannya akan memberi impak yang besar kepada ekonomi Sarawak.

“Malah ia akan menyediakan peluang pekerjaan yang berganda kepada rakyat Sarawak,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) untuk pembinaan kompleks loji methanol tersebut di Hotel Ritz Carlton dekat sini.

Peluang yang wujud katanya, akan membolehkan para jurutera kembali ke Sarawak manakala kesan sampingan turut dirasai oleh pemain dalam sektor lojistik dan penyelenggaraan.

Tambahnya, loji tersebut yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak akan dibina di tapak seluas 80.9 hektar di Bintulu, berhampiran Taman Perindustrian Samalaju.

“Ia dijangka akan mengeluarkan sehingga 5,000 tan metrik methanol sehari.

“Dalam tempoh tiga ke empat tahun, harga pasaran methanol akan pulih.

“Dan ketika itu loji ini akan siap dan boleh beroperasi sepenuhnya,” katanya lagi.

Projek bernilai lebih AS$2 bilion ini melibatkan tiga loji dan akan dibangunkan dalam dua fasa.

Ia dijangka siap di antara tujuh ke 20 tahun dan telah didaftarkan di bawah Lingkaran Ekonomi Laluan Sutera China dan Laluan Sutera Maritim Abad ke-21 atau inisiatif “Satu Lingkaran Satu Laluan”. – Sarawakvoice