Pas sindir dan perli Dr Mahathir, minta beliau cermin diri terlebih dahulu

KUALA LUMPUR:  Pas meminta bekas Perdana Menteri  Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mencermin diri terlebih dahulu sebelum melemparkan tuduhan bahawa parti itu menyebabkan orang Melayu dan umat Islam di negara ini berpecah.

“Tolonglah Tun Mahathir cermin diri dulu. Jangan hentam semborono begitu sahaja  mengatakan PAS punca Melayu berpecah. Kalau Tun terlupa saya hendak ingatkan kepada Tun. Bukankah zaman Tun Melayu berpecah? Selama 22 tahun Tun berkuasa, tiga Timbalan Perdana Menteri terpelanting. Lahir team A dan team B di  dalam Umno sehingga Umno diharamkan. Zaman Tun lahirnya Parti Semangat 46 dan Parti Keadilan Rakyat,” kata Naib Presiden Pas, Idris Ahmad.

Katanya lagi: “Bukankah zaman Tun, royalti minyak untuk Terengganu ditarik. Bukankan zaman Tun wujudnya Pejabat Pembangunan Persekutuan di Kelantan sehingga membazir berjuta wang negara apabila BN kalah pada tahun 1990. Adanya Penghulu Persekutuan dan Penghulu negeri di Kelantan. Apakah Kelantan bukan negeri Melayu? Pejabat Pembangunan Persekutuan wujud di negeri yang BN kalah.  Trend ini wujud hingga zaman DS Najib. Apakah ini lambang perpaduan Melayu?”

Ujar beliau, pada zaman pemerintahan Dr Mahathir dari 1981hingga 2003 tsunami Melayu dalam PRU 1999 selepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anuar Ibrahim dipecat, maka Tun telah mewujudkan persempadanan semula sehingga merosakkan kerusi Melayu.

“Apakah kelakuan Tun, maka Tun bapa penyatuan Melayu?,” katanya dalam satu kenyataan pedas dan sinis sebagai respons kepada kenyataan pengerusi Parti Pribum Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, semalam.

“Kenapa Tun terlalu berdendam dengan PAS? Salahkah PAS hendak membawa hala tuju sendiri. PAS masih di blok pembangkang. Jangan perasan Tun sahaja hendak melawan BN. PAS juga melawan BN. Semasa Tun berkuasa pun kami lawan. Tun baru hendak belajar melawan BN. Belajarlah menjadi pembangkang. Sekarang baru Tun tahu betapa peritnya menjadi pembangkang di Malaysia,” tambahnya.

Idris bertanya, mengapa  pula Dr Mahathir hendak marah kepada Pas apabila tidak menyertai Pakatan Harapan.

Pas telah mengambil keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan Bersatu.

“Ikut pemikiran Tun, kalah di dalam pemilihan maka tubuh parti baru. Kalau tidak mahu sertai pakatan Tun, maka ini dianggap pemecah belah orang Melayu. PAS tidak berminat untuk lawan dengan Tun yang sudah tidak berkuasa. Tetapi apabila Tun serang PAS, maka PAS akan mempertahankan diri,” katanya. – Sarawakvoice