Mekanisme khas perlu bagi pastikan warga asing bayar bil perubatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan dicadang mewujudkan mekanisme khas bagi memastikan warga asing yang mendapatkan rawatan membayar  bil perubatan yang dikenakan.

Ia disuarakan Senator Siti Aishah Shaik Ismail ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di persidangan Dewan Negara semalam.

Katanya kementerian tidak harus berkompromi dengan  warga asing yang culas membayar kos perubatan susulan laporan yang menyatakan tunggakan bil rawatan warga asing  yang mendapatkan perkhidmatan di hospital kerajaan mencecah RM50.5 juta dari 2012 hingga tahun lalu.

“Kalau nilai RM20,000 ke RM30,000 sahaja saya masih boleh terima tetapi kos ini telah mencecah  RM50 juta.

“Kalau (ia melibatkan) rakyat Malaysia sampai dikejar jika tidak membayar kos perubatan dan tiada kompromi, namun jika ia melibatkan warga asing boleh pula terlepas,” katanya.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya dilaporkan berkata Ahad lepas bahawa usaha sedang dibuat untuk menjejak warga asing yang belum menjelaskan tunggakan itu.

Media sebelum  itu  melaporkan warga asing dari 38 negara ‘berhutang’ dengan Hospital Kuala Lumpur sebanyak RM7.87 juta dalam bentuk bil perubatan sejak beberapa tahun.

Pada tahun lepas sahaja, hospital awam terbesar dalam negara itu mencatatkan RM3 juta tunggakan bil susulan kegagalan golongan itu melunaskannya.

Persidangan Dewan Negara bersambung hari ini. Bernama