Majistret tetapkan 19 Mei depan sebut semula kes buang bayi di Samajaya

KUCHING: Mahkamah Majistret Kuching hari ini menetapkan 19 Mei depan untuk sebutan semula kes seorang penuntut kolej swasta yang mendatangkan kematian kepada bayi yang baharu dilahirnya di sini pada 11 April lalu.

Majistret Zulhairil Sulaiman berkata, penangguhan tersebut adalah untuk menunggu laporan kimia kes tersebut yang masih belum lengkap.

Tiada pengakuan dicatatkan daripada tertuduh, Betty Kuleh, 23 tahun yang kelihatan masih lemah kerana dalam tempoh berpantang.

Turut hadir anggota keluarga tertuduh dari Belaga, termasuk ibu dan bapanya.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan tertuduh agar terus direman di Penjara Pusat Puncak Borneo sehingga siasatan kes selesai, memandangkan kes tersebut tidak boleh dijamin.

Tertuduh dituduh di bawah Seksyen 302, yang membawa kepada hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh dituduh membuang bayi ke dalam tong sampah di Apartmen Samajaya, yang kemudian ditemui mati di dalam kotak oleh pekerja permbersihan apartmen sekitar jam 10.00 pagi.

Tertuduh dipercayai melahirkan bayi tersebut sekitar jam 6.00 pagi di dalam bilik mandi di apartmen berkenaan.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dilakukan oleh Inspektor Hisyam Junaidi.