LRT Sarawak bermula pada 2020, kata Ketua Menteri

KUALA LUMPUR: Sistem Transit Aliran Ringan  (LRT) yang menghubungkan bahagian Kuching, Samarahan dan Serian akan menjadi kenyataan pada 2020, kata Ketua Menteri Sarawak,  Datuk Amar Abang Johari Abang Openg .

Menurutnya, sistem LRT itu sedang dikaji untuk dimasukkan dalam pelan pengangkutan awam bagi menangani kesesakan trafik di ketiga-tiga bahagian ketika jumlah penduduk mereka mencapai satu juta.

“Kami sedang mengkaji laluan. Kajian itu akan mengambil masa enam bulan, selepas itu kami akan mendapat teknologi dan rakan kongsi yang betul.

“Disebabkan kami sudah mempunyai tenaga daripada empangan Bakun, kami boleh mengguna teknologi kereta api elektrik,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) tiga pihak untuk projek metanol dan metanol derivatif Sarawak di sini, semalam.

Sarawak akan melaksanakan projek metanol dan metanol derivatif dengan kilang pertama bernilai US$800 juta (US$1=RM4.40) dijangka siap pada 2021.

Abang Johari yang baru kembali daripada lawatan rasmi ke United Kingdom berkata, projek LRT itu akan menggabungkan teknologi terkini dengan pencemaran karbon yang kurang.

“Kami akan menimbang untuk meneruskan projek LRT itu ke bahagian lain apabila ekonomi mereka berdaya maju. Ini bermakna apabila kawasan luar bandar itu maju dari segi ekonomi pertanian moden dan dengan teknologi maklumat dan komunikasi telah mencapai dua Terabit sesaat bagi kelajuan Internet,” tambahnya.

MoU untuk kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan bagi projek metanol yang disaksikan Abang Johari itu, ditandatangi antara entiti kerajaan Sarawak, Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak dan satu konsortium antara China Huanqiu Contracting and Engineering Co Ltd dan MACfeam Sdn Bhd, anak syarikat Pegasus Diversified Bhd. Bernama