KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, tersebar berita tidak benar berkaitan hak pembahagian atas nama waris di bawah umur 18 tahun.

Kononnya didakwa hak aris bawah 18 tahun diserahkan secara automatik kepada Amanah Raya Berhad.

Sebaliknya kenyataan KWSP menyebut, apabila berlaku kematian ahli beragama Islam, penama hanya bertindak sebagai Wasi atau Pentadbir.

Wasi atau pentadbir ini bertanggungjawab mengagihkan simpanan ahli KWSP yang berstatus harta pusaka, mengikut hukum Faraid.

Mengikut undang-undang, penamaan tidak berkuat kuasa sekiranya pada ketika kematian ahli, penama masih belum mencapai umur 18 tahun.

Ini kerana penama bawah 18 tahun tidak layak untuk bertindak menjadi Wasi.

Memetik Bernama, kenyataan KWSP menyebut, ini tidak bermakna anak ahli di bawah umur 18 tahun yang didaftarkan sebagai penama, tidak mendapat hak ke atas simpanan ahli.

Sebaliknya, pembayaran simpanan ahli yang meninggal dunia sebenarnya diproses berdasarkan pembahagian mengikut Sijil Faraid atau Perintah Pembahagian atau Surat Kuasa Mentadbir yang dikemukakan dahulu kepada kumpulan wang berkenaan.

Bagi ahli bukan beragama Islam, KWSP menjelaskan, penama ialah penerima mutlak tanpa mengira usia.

Untuk sebarang kemusykilan orang ramai boleh mendapatkan maklumat di laman sesawang KWSP: www.kwsp.gov.my.

Penjelasan lanjut juga boleh didapati dengan menghubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di talian 03-8922 6000. – Sarawakvoice