KUALA LUMPUR: Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini menerima satu pukulan apabila salah seorang pengasas meletakkan semua jawatan beliau dalam parti berkuat kuasa serta-merta.

Sambil menafikan tindakan itu diambil sebagai manifestasi kekecewaan tidak ada jawatan dalam parti yang dipimpin oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Kamarul Azman Habibur Rahman  berkata, sebaliknya tindakan drastik itu diambil  kerana beliau tidak melihat hala tuju dan agenda perjuangan jelas parti berkenaan.

“Saya keluar parti bukan kerana saya tidak ada jawatan malah sayalah ahli paling banyak jawatan dalam parti,” katanya

“Bersatu masih kabur dalam perjuangan politik untuk negara kita,” ujarnya.

Bagi beliau, masalah Bersatu ialah pemimpin yang sudah lama berkecimpung dalam politik tidak mengendahkan pandangan ahli lain sehingga ahli berasa tidak dihargai, dan seterusnya berasa kecewa.

Kamarul mendakwa, seramai 821 ahli Bersatu seluruh negara berhasrat keluar daripada parti itu.

Beliau melepaskan jawatan sebagai setiausaha kerja, Pengerusi Perhubungan Bersatu Negeri Sembilan,  Ahli Majlis Pimpinan Pusat Bersatu dan Ketua Bahagian Bersatu Teluk Kemang.

Sebelum menyertai Bersatu, Kamarul  merupakan antara 13 ketua Umno Bahagian Telok Kemang yang dikenakan tindakan disiplin oleh Umno kerana mempersoalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentang  isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan derma  RM2.6bil.

Beliau mengumumkan tidak berhasrat menyertai Umno  semula. – Sarawakvoice