Bekas Anggota Parlimen Kapit tiga penggal meninggal dunia

KUCHING: Bekas Anggota Parlimen Kapit selama tiga penggal, Datuk James Jimbun Pungga,  meninggal dunia pada  5.40 pagi semalam di Hospital Serdang, Selangor, selepas lama uzur dan mengalami komplikasi jantung.

Jimbun, 77, merupakan Anggota Parlimen Kapit bagi tempoh 1986 hingga 1999 mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Lulusan dari Lambuth College, Jackson, di Tennessee, Amerika Syarikat dan kemudian ke Universiti Malaya, beliau  berkhidmat sebagai guru dan seterusnya menjadi penjawat awam kanan di beberapa jabatan kerajaan negeri.

Menurut sepupunya, Peter Sigie,  mendiang Jimbun menjawat jawatan pengerusi PBB bahagian Baleh selain menjadi anggota Majlis Tertinggi parti itu dari 1986 hingga 1999.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Song sebelum dilantik sebagai Pengerusi Majlis Daerah Kapit selama setahun mulai 1985 sebelum meletak jawatan untuk menyertai politik.

Mendiang merupakan Temenggong bagi komuniti Iban di sini, dan dilantik ke jawatan itu pada 16 Sept 2005.

Beliau berasal dari Nanga Entawau, penempatan utama kaum Iban yang terakhir di Hulu Balleh di  Kapit. Mendiang meninggalkan isteri Datin Senorita Linang dan empat anak.

Peter berkata jasad mendiang akan dibawa pulang dari Kuala Lumpur dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Kuching kira-kira 12.45 tengah hari ini. Bernama