Akhirnya Melvin, anak Iban dapat warganegara, hadiah istimewa hari jadi

KUCHING: Bukan sahaja dilahirkan tanpa bapa, seorang murid lelaki berketurunan Iban, Melvin Marjina turut hilang hak istimewa sebagai rakyat Malaysia selama 12 tahun, gara-gara kegagalan ibunya mendaftarkan sijil kelahiran kanak-kanak berkenaan.

Kisah sedih murid tahun enam dari Sekolah Kebangsaan (SJK) Chung Hwa Buntal di sini, bermula apabila dia dilahirkan oleh ibunya, Marjina Henry yang hamil sebelum berkahwin ketika berusia 15 tahun pada 28 Mac 2003 di Bintangor, Maradong.

Akibat terlalu muda, Marjina tanpa berfikir panjang mengambil keputusan meninggalkan kampung untuk melupakan sejarah hitamnya dengan menyerahkan tanggungjawab membesarkan Melvin kepada ibu bapanya tanpa mendaftarkan kelahiran anaknya itu.

Marjina kemudian bertemu jodoh dengan Laizen Nanang Nyanggau dari Kampung Pati, Serian dan melahirkan dua lagi anak lelaki, Jehoveh, 10, dan Zoroaster, 5.

Pada masa sama, Melvin yang semakin membesar berpindah mengikut datuk dan neneknya menetap ke Kampung Semariang Batu di sini, bersekolah di SJK Chung Hua Buntal dan terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah kerana tiada dokumen kelahiran.

Nasib malang menimpa Melvin mendapat perhatian daripada guru besar di sekolahnya lalu berusaha untuk menguruskan dokumen bagi muridnya yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Akhirnya, Melvin mendapat khabar gembira dan hadiah besar sempena sambutan hari kelahirannya, apabila mendapat sijil kelahiran daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan seterusnya kad pengenalan yang mengesahkan dirinya sebagai warganegara Malaysia hari ini.

Melvin yang menerima dokumen tersebut daripada Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti negeri, Datuk Fatimah Abdullah dalam majlis khas diadakan di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya di sini, dilihat amat gembira dengan hadiah diperoleh sempena hari lahirnya kali ini.

Menurut Fatimah, masalah dokumen pengenalan diri Melvin selesai apabila JPN berjaya mengesahkan kanak-kanak itu adalah seorang warganegara Malaysia kerana dilahirkan di Maradong oleh ibunya yang merupakan seorang wanita tempatan berketurunan Iban.

“Proses membuat sijil lahir dan kad pengenalan Melvin berjaya diselesaikan dalam masa 11 hari dengan kerjasama JPN Maradong dan penghulu di kampung tempat dia dilahirkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan dokumen tersebut.

Yang turut hadir, Pengarah JPN Sarawak Jasni Jubli, Marjina, 26, bersama Laizen Nanang, 28, dan dua anak mereka serta datuk Melvin, Dunstan Lee, 65.

Menurut Fatimah, pihaknya berusaha menyelesaikan masalah dokumentasi dihadapi oleh murid tahun enam itu kerana ingin memastikan kanak-kanak itu tidak tercicir dalam pelajaran dan terjamin masa depannya.

Sementara itu, Melvin ketika ditemui memberitahu, dia gembira apabila akhirnya memiliki dokumen pengenalan diri dan dapat meneruskan persekolahan termasuk menduduki UPSR tanpa masalah selepas ini.