AADK mohon lebih banyak kuasa, miliki lokap bagi tangani dadah

KAJANG: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed mengesahkan sehingga April tahun ini, 825 daripada 23,583 pelajar sekolah menengah seluruh Malaysia didapati positif dadah.

Keputusan berkenaan didapati hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan.

Memetik laporan Bernama pada Selasa, Nur Jazlan selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang AADK 2016 pada Selasa berkata, terdapat pelajar positif dadah terbabit bertindak sebagai pengedar dadah.

Menurut beliau lagi, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bertegas mengambil tindakan terhadap penagih dan pengedar dadah ini sesuai dengan peranan mereka membanteras gejala dadah.

Nur Jazlan merangkap Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) berkata AADK yang memberi fokus kepada aktiviti meningkatkan kesedaran dan pendidikan bahaya dadah, kini giat memperkasa aktiviti penguatkuasaan memerangi salah guna dadah.

AADK juga memohon peruntukan mempunyai pelbagai kemudahan seperti lokap dan kuasa membolehkan agensi berkenaan menjalankan penguatkuasaan efektif menangani gejala dadah.

AADK mendapatkan lebih banyak kerjasama daripada pelbagai agensi dan Kementerian Pendidikan bagi menangani isu dadah dalam kalangan pelajar. – Sarawakvoice