Taib gesa dermawan bantu perkukuh dana Anjung Kasih

KUCHING: “Dalam apa bentuk penyakit pun, rawatan yang paling mujarab adalah sokongan keluarga dan sahabat handai.

“Dengan adanya mereka, para pesakit tidak akan berasa terkurung, rendah diri mahupun berada di bawah tekanan.

Itu mesej utama yang disampaikan oleh Yang Di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud sewaktu merasmikan Anjung Kasih Hospital Umum Sarawak semalam.

Sehubungan itu, beliau menggesa golongan hartawan dan dermawan di negeri ini tampil membantu dengan menghulurkan bantuan semampu mungkin.

“Bantuan mereka bukan untuk pesakit semata-mata, tetapi untuk keluarga dan sahabat handai yang hadir memberi sokongan.

Katanya, ini penting kerana kehadiran keluarga akan mempercepat proses kesembuhan pesakit, apabila mereka tidak diganggu kerisauan dan kegalauan perasaan.

“Sebab itu saya amat gembira dengan konsep Anjung Kasih ini yang menyediakan kemudahan untuk keluarga pesakit berlindung, kerana kasih sayang dan tumpuan keluarga juga merupakan sebahagian daripada proses rawatan.

Tegasnya, bagi masyarakat luar bandar, untuk berada di bandar bagi menemani keluarga yang sakit, adalah bebanan kos yang besar.

“Mereka bukan sahaja terpaksa meninggalkan kerja di kampung halaman, malah perlu membayar biaya penginapan dan makanan yang tinggi, apabila berada di bandar.

“Keadaan makin menyeksakan bagi keluarga yang miskin dan daif,” katanya lagi.

Kerana itu katanya, beliau tidak teragak-agak untuk memberikan sokongan kepada projek ini.

Anjung Kasih Hospital Umum Sarawak merupakan yang terbesar di negara ini, yang memperuntukkan 104 katil.

Sejak beroperasi pada 16 Disember 2013, ia telah digunakan oleh 4,162 penghuni.

Kebanyakan penghuni adalah hasil rekomendasi doktor-doktor yang terlibat.

Selain Hospital Umum Sarawak, dua lagi Anjung Kasih di negeri ini terletak di Hospital Miri (31 katil) dan Hospital Sibu (64 katil).

Pelaksanaan Anjung Kasih dilaksanakan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan oleh Yayasan Kebajikan Negara dan Kementerian Kesihatan, manakala kos makanan sebanyak dua kali sehari, disumbangkan oleh pelbagai badan bukan kerajaan, korporat dan orang perseorangan.

Pada majlis tersebut, Tun Abdul Taib telah mengumumkan sumbangan RM100 ribu untuk dana Anjung Kasih Hospital Umum Sarawak, manakala bantuan untuk kes-kes tertentu akan diberikan secara berasingan. – Sarawakvoice