[Surat Pembaca] Norah berjaya bangunkan Tanjung Manis, wajar kekal bertanding PRU14

Keprihatinan dan kesungguhan beliau untuk turun padang mendengar masalah dan aduan menjadikan beliau seorang yang disenangi oleh penduduk di Parlimen Tanjung Manis.

Yang Berhormat Datuk Hajah Norah binti Abdul Rahman, ialah puteri kepada mantan Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sarawak dan bekas Ketua Menteri Sarawak ketiga, Tun Abdul Rahman Yakub.

Beliau menjadi Ahli Parlimen Tanjung Manis sejak 2008.

Beliau menang tanpa bertanding pada tahun berkenaan dan kekal menjadi Ahli Parlimen untuk penggal kedua apabila dapat mengalahkan calon dari Parti Islam SeMalaysia (Pas) dengan mendapat sokongan rakyat hampir 90 peratus undi.

Sejak beliau menjadi wakil rakyat, perubahan landskap bumi Tanjung Manis amat ketara dengan banyak projek berskala besar dijalankan dan dapat memberikan manfaatkan kepada penduduk di sekitarnya.

Pelan Pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang dimulakan sejak 2008 menjadikan Tanjung Manis sebagai Hab Halal selain mempunyai pelabuhan laut dalam, projek Kluster Perindustrian Minyak Sawit dan lain-lain lagi.

Parlimen Tanjung Manis mempunyai dua DUN iaitu Kuala Rajang dan Semop yang berkeluasan geografi seluas 2,024 kilometer segi.

Datuk Norah sangat responsif dalam isu tempatan seperti jalan rosak, ketiadaan air di kampung, bantuan kebajikan kepada penduduk.

Kesungguhan beliau mendapatkan kemudahan jalan raya untuk penduduk Pulau Bruit dapat dilihat dengan projek jalan raya yang dilaksanakan dan hampir siap bagi menghubungkan kampung di pulau tersebut.

Selama ini penduduk di situ hanya terpaksa bergantung menggunakan bot atau motosikal sebagai pengangkutan.

Selain pembangunan setempat, beliau juga sangat mengambil berat masa depan anak-anak penduduk di sini dengan terbinanya sekolah menengah di Pulau Bruit.

Beliau juga sentiasa memberi sokongan kepada program sukan, kemahiran dan kebudayaan yang dianjurkan oleh pihak badan bukan kerajaan.

Sememangnya jasa beliau kepada Parlimen Tanjung Manis ini sangat besar.

Beliau seharusnya terus mendapat peluang untuk kekal sebagai wakil rakyat kepada hampir 20,000 pengundi pada pilihan raya umum yang akan datang.

Dang Isah Sari, Pulau Bruit