RUU355: Wajarkah, tingkatkan 100 sebatan, maka terlaksanalah syariat Islam?

Menyedihkan melihat gelagat pemimpin dan penyokong Parti Islam SeMalaysia (Pas) dalam menegakkan “hudud” dalam rangka Perlembagaan Persekutuan.

Hanya kerana cadangan pindaan dengan menaikkan hukuman enam sebatan kepada 100 sebatan, maka “terlaksanalah” syariat Islam.

Bagaimana mungkin syariat itu tertegak jika persekitaran masyarakat dan penguat kuasa undang-undang yang dilihat masih “dililit” ketidakadilan?

Adakah bijak pandai dalam Pas menjadi bebal dan kerana ketaatan membuta tuli kepada orang yang digelar ulama?

Mustahil usul persendirian pindaan Rang Undang-Undang (RUU)355  ini menjadi kenyataan sekiranya pemimpin Pas masih berkeras meneruskannya pada sesi Parlimen akan datang kerana ia menyebabkan jurang kepercayaan antara orang Islam dan yang bukan Islam semakin melebar apabila terus melaungkan ia sebagai hudud.

Perlabelan sebagai kafir atau murtad kepada pihak yang tidak menyokong pindaan RUU355 versi Pas ini menjadi sangat serius sehingga sedikit ketidaksetujuan dari sudut teknikal pun terkesan.

Umno yang menyatakan mahu membentang RUU355 ini, menyerahkan kembali kepada Pas membaca usul cadangan pindaan tersebut.

Ini seolah-olah, Umno khuatir sekiranya pihak kerajaan membentangnya, kemungkinan riwayat kerajaan tamat kerana komponen BN yang lain sejak awal tidak menyokong usul pindaan tersebut.

Oleh itu, “permainan” ini wajar ditamatkan segera, sama ada memperbetul kefahaman rakyat Malaysia akan maksud sebenar pindaan tersebut atau mencadangkan usul pindaan yang lebih teliti dan adil.

Dengan harapan agar ruh memperkasa mahkamah syariah dapat dicapai dengan menepati objektif pelaksanaannya.

Ahmad Ilham, Petra Jaya Kuching