Parlimen Batang Lupar bersedia hadapi pilihan raya – Rohani Karim

KUCHING: Parlimen Batang Lupar telah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan diadakan pada bila-bila masa, kata penyandangnya, Datuk Seri Rohani Karim.

Menurutnya ketika ini, program-program prapilihan raya dan persediaan ke arah hari penting itu sedang rancak berlangsung, terutama di peringkat ranting.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, sebagai wakil rakyat, menjadi tanggungjawab beliau untuk turun padang dan meninjau segala persiapan yang perlu.

“Kami turun padang untuk mengingatkan mereka di kawasan bahawa Pilihan Raya Umum akan berlangsung tidak lama lagi.

Katanya, bagi Sarawak, keadaan agak sedikit mudah kerana negeri itu baharu sahaja mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Justeru segala maklumat PRN itu masih boleh digunakan untuk PRU yang akan datang,” jelasnya yang ditemui selepas Majlis Perasmian Anjung Kasih di Hospital Umum Sarawak di sini, pagi tadi.

Majlis perasmian disempurnakan Yang Di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.

Katanya, apabila sahaja beduk pilihan raya diumumkan, mereka mahu Sarawak dalam keadaan yang cukup bersedia.

Ditanya berapa nama yang dikemukakan sebagai calon, Rohani enggan mengulas, sebaliknya menjelaskan, ia akan ditentukan oleh pimpinan parti di kawasan serta cadangan agensi-agensi politik yang terlibat.

“Akhirnya, ia kuasa pregogratif Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak,” katanya lagi.

Rohani, 62 tahun merupakan lulusan Ohio University dan telah menjadi Ahli Parlimen Batang Lupar sejak 2004.

Beliau mula menjadi menganggotai Dewan Rakyat sejak 1990 apabila memenangi kerusi Parlimen Santubong.