Nancy hulur RM 60,000 bantu keluarga 12 pintu rumah panjang terbakar

BATANG SADONG: Kesedihan 15 keluarga yang hilang kediaman selepas Rumah Panjang Kampung Sekendu, Simunjan di sini musnah terbakar baru-baru ini, sedikit terubat apabila menerima bantuan untuk meringankan beban mereka.

Nasib malang menimpa 91 penghuni dari 15 rumah panjang itu mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri yang menghulurkan sumbangan wang tunai dan bantuan makanan kepada mangsa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, sumbangan wang sebanyak RM5,000 bagi setiap pintu rumah panjang yang terbakar itu merupakan bantuan awal kerana akan ada sumbangan susulan selepas ini.

“Sebanyak RM60,000 telah diserahkan kepada 12 pintu rumah panjang yang musnah sepenuhnya akibat kebakaran tersebut.

“Ini merupakan bantuan sementara bagi membolehkan mangsa membeli barangan keperluan untuk keluarga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa menyampaikan bantuan tersebut baru-baru ini.

Selain sumbangan daripada beliau, Nancy berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyediakan bantuan makanan dan minuman serta wang tunai kepada keluarga yang menjadi mangsa.

Beliau berkata, pihaknya juga masih berbincang dengan beberapa agensi kerajaan berkaitan untuk menyediakan tempat tinggal tetap bagi kesemua mangsa.