Muktamar Pas ke-63  bakal berlangsung di Kedah bermula 29 April hingga 1 Mei ini. Berbeza daripada muktamar sebelum ini, muktamar kali ini dijangka tidak terlalu tegang dan panas.

Pada muktamar lepas, timbul isu berkaitan usaha pihak tertentu untuk menggugat Pas, dan golongan ini telah tidak lagi dalam parti Islam itu.

Apakah yang diberi perhatian dalam muktamar kali ini?  Memandangkan pilihan raya ke-14 semakin dekat dan hangat diperkatakan, sudah pasti, Pas akan memberi perhatian terhadap strategi untuk memenangi lebih banyak kerusi, dan bagaimana berdepan bukan sahaja dengan BN, tetapi juga parti pembangkang lain.

Maksudnya, Pas akan mencanai ramuan terbaik  bagaimana menghadapi PRU14. Pas tentu tidak mahu ditempelak oleh parti serpihan, Amanah, dan juga DAP dan PKR jika ia gagal untuk sekurang-kurangnya mempertahankan jumpah kerusi dimenanginya dalam PRU-13. Pada PRU lalu, Pas menang 22 kerusi Parlimen.

Pada muktamar dua tahun lepas fokus perwakilan adalah kepada krisis dan pergolakan dalaman parti itu.

Kali ini tumpuan lebih untuk bagaimana memantapkan prestasinya.

Kali ini, dijangkakan perbincangan akan menyentuh soal tahaluf siyasi antara Pas denganan PKR.

Banyak kawasan yang mencadangkan Pas  putus hubungan dengan PKR termasuk di Pulau Pinang dan Kelantan. Desakan itu memperlihatkan perkara ini mungkin menjadi isu utama kepada perwakilan.

Desakan tentu semakin mendesak selepas pemimpin PKR Rafizi Ramli menuduh Pas menerima dana daripada 1MDB.

PKR yang bekerjasama dengan DAP dilihat tidak lagi sesuai bekerjasama dengan Pas. Pemimpin tertingginya beberapa kali menyatakan bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang bekerjasama dengan DAP.

Disebabkan keadaan demikian, maka Pas kini bernafsu besar dengan berhasrat untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen. Pas boleh saja bertanding di banyak kerusi, tetapi mampukah ia mencatat kemenangan?

Mungkinkah Pas dapat mengulangi prestasi yang ditunjukkannya pada 2013? Atau parti pimpinan Abdul Hadi Awang itu akan kecundang dan berputih mata?

Kemenangan dalam PRU lalu sebenarnya turut dibantu oleh DAP dan PKR, dan bukannya semata-mata atas kekuatan Pas.

Bukan mengejutkan jika dalam PRU nanti Pas akan hilang beberapa kerusi. Maksudnya, Pas akan mencatat keputusan lebih teruk daripada 2013. – Sarawakvoice