Mahathir: Pas pecahkan Melayu

KUALA LUMPUR: Penubuhan Pas telah menyebabkan orang Melayu tidak lagi menjadi golongan majoriti, walaupun Melayu merupakan bangsa majoriti di Malaysia, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut bekas Perdana Menteri itu sejak Pas ditubuhkan, perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan orang Islam di Malaysia tidak dapat dipulihkan lagi.

Beliau mendakwa oleh kerana semua orang Melayu beragama Islam, penubuhan Pas bukan sahaja memecahbelah orang Melayu tetapi juga memecahbelah orang Islam.

Ujarnya,  dalam usaha Pas untuk mendapat sokongan, parti itu sanggup mengkafir orang Melayu yang tidak menyertainya.

“Dengan ini gejala sosial menimpa keluarga Melayu kerana ada ahli Pas yang mengkafir ibu bapa mereka dan menganggap perkahwinan mereka tidak sah,” katanya menerusi blog Chedet.cc hari ini, dan menambah sehingga ke hari ini pun ada tempat di mana orang Melayu tidak sembahyang bersama.

Pas menolak untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang terdiri daripada Bersatu, DAP dan Amanah. – Sarawakvoice