Kementerian fokus isu guru berkualiti, sekolah daif dan konektiviti internet di Sarawak – Menteri

KUCHING: Guru berkualiti dan sekolah daif merupakan perkara yang menjadi perhatian utama Kementerian Pendidikan di Sarawak ketika ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, fokus itu penting bagi memastikan rakyat di negeri ini memiliki pendidikan yang sama rata.

“Baik di pinggir bandar, mahupun luar bandar dan pedalaman, kita perlu mempunyai guru yang berkualiti.

“Kita juga akan pastikan setiap kurikulum yang digunakan adalah seragam,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah tapak baharu Sekolah Kebangsaan Jenis Cina Stampin di sini semalam.

Pada masa yang sama katanya, pembangunan sekolah-sekolah baharu turut dijadikan keutamaan, terutama menggantikan sekolah-sekolah yang daif dan “terjun sungai”.

“Kita laksanakannya berdasarkana keutamaan. Senarai keutamaan untuk sekolah-sekolah ini disediakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri.

Katanya, pembinaan sekolah bersasarkan Sistem Binaan Bersepadu (IBS) kini lebih murah dan ini membolehkan sekolah-sekolah ini lebih murah dan mudah dibangunkan.

Fokus lain katanya, adalah untuk memastikan semua sekolah di negeri ini disambung dengan konektiviti internet.

“Saya mempunyai senarai spot-spot kelajuan internet dari Lawas ke Lundu.

“Justeru saya mengharapkan masalah konektiviti ini akan ditangani menjelang tahun 2020.

“Hanya dengan kelajuan internet kita dapat memajukan pendidikan kita,” tegasnya lagi.

SJK(C) Stampin yang dibina di tapak baharu, sekitar 1.5 kilometer dari tapak asal dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan. – Sarawakvoice