Hadi ajak umat Islam maafkan Nanyang Siang Pau

KUALA LUMPUR: Presiden Pas mengajak umat Islam yang terguris dengan penerbitan karikatur berkenaan agar dapat bersama beliau untuk memaafkan akhbar Nanyang Siang Pau dan berharap perkara sedemikian tidak berulang lagi pada masa depan.

“Semoga dengan tindakan memaafkan ini, kita sama-sama dapat terus komited untuk menyuburkan keharmonian dan sifat saling faham memahami dalam masyarakat di Malaysia khususnya,” kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Pas telah menerima satu surat permohonan maaf daripada pihak Ketua Pengarang Akhbar Nanyang Siang Pau pada 12 April 2017 dan juga maklumat permohonan maaf secara terbuka yang dicetak di akhbar berkenaan.

Menurut Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, kesilapan penerbitan itu berlaku akibat keterlanjuran dan kejahilan mereka memahami batasan sensitiviti agama yang sangat halus garisnya.

“Saya melihat bahawa kerap kali batasan antara erti ‘kebebasan ekspresi’, ‘satira’ dan ‘sensitiviti masyarakat Islam’ yang sememangnya meletakkan agama sebagai satu urusan kehidupan yang terlalu mulia adalah kadangkala sukar dibezakan oleh kalangan tertentu dalam masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang agama, keturunan, bangsa, pendidikan, dan sebagainya.,” ujarnya.

Presiden Pas itu berkata, susulan siaran karikatur dalam akhbar itu bertarikh 8 April 2017 ia telah mengguris hati dan menimbulkan suasana kurang enak dalam suasana semasa di negara kita ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memberi surat tunjuk sebab, dan telah memaafkan akhbar itu dengan tidak mengambil tindakan drastik terhadap akhbar itu.

Di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, KDN boleh menggantung atau menarik balik permit penerbitan akhbar yang melanggar akta berkenaan. – Sarawakvoice