Polis Hatyai tidak terima laporan penculikan Peter Chong, sedia bertindak…

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mempersoal tujuan aktivis Peter Chong ke Thailand yang dikatakan bertemu sumber bagi mendapat maklumat kes kehilangan paderi Raymond Koh Keng Joo.

Memetik Berita Harian, Khalid bertanya, “kalau dia ada maklumat berkaitan kehilangan paderi Koh, kenapa tidak kongsi dengan kita? Kenapa dia pergi siasat sendiri?

Tegas Khalid, “beritahulah polis, kita yang menyiasat kes ini, melainkan dia juga penyiasat…” ujar Khalid mempertikaikan tindakan Chong yang pergi tanpa memberitahu anak serta ahli keluarganya yang lain.

Kehilangan 11 hari mantan Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu sempat menimbulkan panik kerana ada pihak mendakwa Chong, 54, diculik di Malaysia.

Bercakap kepada media selepas Syarahan Perdana di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Isnin, Khalid berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia menghubungi polis Thailand menyiasat dakwaan Chong kononnya beliau diculik di Hatyai.

Khalid berkata pihaknya perlu tahu apakah sebenarnya berlaku kepada bekas pembantu peribadi Ahli Parlimen Subang R Sivarasa sejak dilaporkan hilang 6 April lepas.

Dalam keterangannya kepada polis sejurus tiba di tanah air Chong, mendakwa dia ke Hatyai bertemu sumber yang dikatakan mahu mendedahkan maklumat berkaitan paderi Raymond yang hilang sejak 13 Februari lalu.

Bagaimanapun, Chong mendakwa diculik sebelum dibawa ke Pattaya sebaik tiba di Hatyai.

Beliau mendakwa dibebaskan sebelum menghubungi anak lelakinya yang membelikan tiket penerbangan pulang ke tanah air.

Sementara itu, menurut Bernama pada Isnin, polis Hatyai mengaku tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan Chong diculik di bandar itu dan dibawa ke Pattaya baru-baru ini.

Ketua Polis Hatyai Kolonel Kittichai Sankatavorn berkata pihaknya akan membuat laporan terhadap Peter atas dakwaan mereka-reka cerita palsu, sekiranya terbukti tiada laporan polis berhubung penculikan itu.

Bercakap kepada Bernama, Kittichai berkata, jika tiada laporan dibuat, polis Hatyai akan membuat laporan terhadap Peter atas dakwaan membuat cerita rekaan.

Kittichai berkata beliau berhubung dengan polis Malaysia bagi mendapat maklumat terperinci berhubung dakwaan aktivis itu diculik di Hatyai, destinasi popular dengan pelancong Malaysia. – Sarawakvoice