14 hospital dalam senarai menunggu Anjung Kasih – Rohani

Bukan hanya untuk keluarga, tetapi pesakit jauh yang perlu pemeriksaan berulang

KUCHING: Anjung Kasih kini bukan sahaja menjadi pusat penginapan untuk keluarga yang menemani pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital, tetapi atas keizinan doktor, akan turut menempatkan para pesakit yang sedang dalam proses pemulihan.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pesakit-pesakit yang telah keluar dari wad, tetapi perlu untuk berkunjung semula ke hospital bagi tujuan pemeriksaan, akan dibenarkan untuk menginap di sini.

“Ia mengambil kira faktor kediaman mereka yang jauh, dan kesukaran atau keselamatan dalam perjalanan,” katanya pada sidang media selepas perasmian Anjung Singgah Hospital Umum Sarawak di sini semalam.

Rohani menjelaskan, pihaknya memang berhasrat untuk mewujudkan Anjung Kasih di seluruh hospital di negara ini.

“Ia bukan memakan biaya yang sedikit. Kos untuk pembinaannya menjangkau RM1 juta hingga RM1.5 juta bergantung kepada bangunan yang disediakan.

“Dan syarat yang kita berikan ialah tapak cadangan tersebut hendaklah berada di dalam kawasan hospital.

“Ini untuk memudahkan keluarga menemani pesakit, dan tidak perlu untuk mengeluarkan kos bagi membayar pengangkutan dan sebagainya,” katanya lagi.

Ketika ini terdapat lapan Anjung Kasih di seluruh negara, dengan tiga daripadanya terdapat di Sarawak.

Malah di Anjung Singgah Hospital Miri yang menempatkan 31 katil, selain satu bilik khas untuk masyarakat Penan, yang berlantaikan pangkin, dan muat untuk penghuni yang ramai.

“Bilik Penan ini diwujudkan kerana menjadi tradisi mereka untuk tidak berpecah dan menemani keluarga yang sakit dalam jumlah yang ramai,” katanya.

Kewujudan Anjung Kasih ini sebenarnya timbul setelah melihat keluarga yang menjaga pesakit terpaksa tidur di kaki lima wad ataupun hospital, hingga mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan.

Katanya lagi, sebanyak 14 hospital dalam senarai menunggu setelah memohon untuk diwujudkan Anjung Kasih di premis mereka.

“Ketika ini, antara kawasan yang sedang diusahakan adalah di Hospital Serdang dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Hospital Sandakan (Petronas) manakala Bank Rakyat masih belum menentukan hospital yang mereka pilih,” tambahnya lagi.

Secara keseluruhan, Anjung Kasih di seluruh negara memiliki 196 bilik dan 426 katil, dan sejak Oktober 2006, telah berkhidmat kepada 34,813 penghuni. – Sarawakvoice