113 daripada 117 warga Korea Utara serah diri kepada Imigresen Sarawak, empat lagi berbuat demikian hari ini

PUTRAJAYA: Sejumlah 113 daripada 117 warga Korea Utara dalam senarai Jabatan Imigresen Negeri Sarawak telah menyerah diri, setelah tempoh seminggu yang diberikan oleh jabatan itu tamat pada hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, baki empat lagi rakyat negara itu masih belum berbuat demikian namun majikan yang terbabit memberi jaminan bahawa mereka akan berbuat demikian hari ini.

Datuk Seri Mustafar Ali

“Pada masa yang sama, seramai 183 warga Korea Utata yang tinggal lebih masa menggunakan Pas Lawatan Sosial juga telah menyerah diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustafar menjelaskan, kemasukan warga Korea Utara ke Sarawak sebelum ini tidak memerlukan visa masuk, atas hubungan diplomatik yang wujud.

Malah majikan juga tidak pernah hadir ke Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia untuk mengemukakan pas kerja.

Katanya, pihak majikan juga telah mengesahkan bahawa tiada lagi warganegara Korea Utara yang tinggal lebih masa menggunakan pas PLS.

“Secara keseluruhannya, jumlah warganegara Korea Utara yang telah menyerahkan diri adalah seramai 296 orang.

“Dan kesemuanya, telah dan akan keluar dari Malaysia secara berperingkat dengan kerjasama majikan,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice