10 sekolah bakal perintis penggunaan kad debit untuk pelajar

KUCHING: Kementerian Pendidikan bersedia mewujudkan projek perintis melibatkan 10 sekolah di bandar bagi pelaksanaan kad debit dan bebas tunai untuk kegunaan para pelajar di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usaha ini bagaimanapun tertakluk kepada persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit.

Katanya, pihaknya tidak berhalangan untuk pelaksanaan projek itu kerana ia dianggap sesuai dengan teknologi masa kini.

“Tetapi mesti ada sistem. Sistem untuk pelaksanaan kad debit itu.

“Ketika ini, kaedah yang sama diguna pakai oleh bank-bank swasta, dan ia boleh dipanjangkan ke sekolah-sekolah,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah Sekoleh Jenis Kebangsaan Cina Stampin di sini petang tadi.

Mahdzir berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu kaedah yang dicadangkan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Bersatu Berhad (Angkasa) untuk para pelajar ini.

Cadangan mengenai penggunaan kad debit ini mula dicetuskan sewaktu Majlis Anugerah Hari Koperasi Sekolah Negara pada 13 November lalu.

Katanya, perbincangan dengan pihak Angkasa telah pun bermula tetapi kedua-dua pihak belum mempunyai perincian lanjut.

“Dan ia perlu datang dengan pelbagai pilihan, selain diperbincang dengan PIBG berkaitan,” tambahnya.

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Stampin yang baharu akan dibangunkan di tapak yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari tapak sekolah asal di Jalan Tun Jugah.

Sekolah asal tersebut yang kini mempunyai 787 murid berhadapan kesesakan teruk setiap kali waktu puncak, selain terletak di pinggir jalan utama, yang boleh memdatangkan bahaya dari aspek keselamatan.

Sekolah baharu tersebut dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan. – Sarawakvoice