Takiyuddin tarik diri rebut jawatan naib presiden Pas

KUALA LUMPUR:  Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan menarik diri untuk merebut jawatan naib presiden dan ahli jawatankuasa kerja pusat Pas pada hujung bulan ini di Alor Setar.

Ahli Parlimen Kota Bharu dalam satu kenyataan merakamkan ucapan penghargaan kepada ahli yang mencalonkannya untuk kedua-dua jawatan itu.

Takiyuddin berkata, disebabkan beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap kepemimpinan tertinggi Pas pusat sedia ada serta melihat keserasian dalam kepemimpinan kini yang melibatkan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden, maka beliau  membuat keputusan menarik diri daripada bertanding jawatan Naib Presiden.

Penyandang jawatan naib presiden ialah Datuk Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad.

“Saya yakin komposisi sedia ada ini akan mampu membawa Pas menuju masa depan yang lebih cemerlang, khusus untuk menghadapi PRU-14 nanti,” katanya.

Ujarnya, keputusan untuk berundur daripada bertanding  jawatan ahli jawatankuasa pusat adalah bagi memberi peluang kepada calon-calon lain menawarkan diri untuk memberi khidmat terbaik mereka kepada parti.

Empat puluh ahli lain akan berentap untuk jawatan ahli jawatankuasa kerja.

Namun, katanya, beliau  bersedia menerima sebarang jawatan lantikan yang difikirkan sesuai oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berjanji akan memberikan sumbangan terbaik sekiranya diberikan amanah tersebut nanti.

Muktamar ke-63 Pas diadakan bagi memberi peluang kepada ahli memilih kepemimpinan baharu parti bagi  sesi 2018/19. – Sarawakvoice