RUU355: PKR, Amanah tunduk pada Lim Kit Siang

BERA: Sikap dan tindak-tanduk beberapa ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAN yang bersekongkol dengan DAP cuba menghalang pembentangan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 baru-baru ini adalah gambaran jelas bahawa DAP akan menguasai pentadbiran kerajaan sekiranya kumpulan pakatan itu memenangi pilihan raya umum akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, apa yang berlaku sewaktu pembentangan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat adalah bukti jelas ahli Parlimen dalam kumpulan pakatan itu termasuk yang beragama Islam dikawal oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

“Semuanya dikawal oleh Kit Siang. Inilah gambaran kalau pembangkang menguasai kerajaan, semua akan dikuasai dan menjadi kuda tunggangan kepada Kit Siang.

“Kita lihat parti-parti lain seperti PKR dan PAN tidak ada kuasa dalam pakatan itu kerana masih menerima arahan Kit Siang daripada DAP,” katanya di Bera baru-baru ini.

Ketika pembentangan RUU 355 oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beberapa ahli Parlimen daripada DAP dan PKR dilaporkan seolah-olah cuba menghalang apabila membangkitkan beberapa perkara kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebaik sahaja rang undang-undang itu mahu dibacakan.

Akibat daripada itu, pembentangan tersebut telah tertunda selama kira-kira 35 minit sebelum Ahli Abdul Hadi dapat membentangkan usul berkenaan atas sifat rang undang-undang persendirian.

‘Gangguan’ itu dimulakan Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah yang mempersoalkan cadangan usul rang undang-undang yang beliau failkan sebelum ini mengenai penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) telah ditolak Dewan Rakyat.