RUU355: Pas dianggap terlalu naif dan terhegeh-hegeh

KUALA LUMPUR: Kejayaan Pas membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat baru-baru ini berjaya menenggelamkan fitnah besar yang cuba dicanang oleh musuh Pas bahawa Pas telah membiarkan dirinya ditipu dan diperdayakan oleh Umno melalui umpan RUU 355, kata Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Bagi musuh Pas, kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu, Umno hanya mahu memecah-belahkan barisan pembangkang dan sesekali tidak akan menyokong pembentangan itu.

“Pas dianggap terlalu naif dan terhegeh-hegeh menagih kuasa dan kemewahan daripada Umno dan pemerintah yang zalim, ,” katanya dalam satu kenyataan.

Foto Friends of PAS: Nik Abduh Nik Abdul Aziz (tengah) ketika di Kuching

“Ternyata telahan mereka salah dan fitnah mereka terpadam. Terbukti Pas bukan mudah dipermainkan. Dengan kecekalan Pas meneroka pelbagai kaedah dan laluan baru dakwah, walaupun pada awalnya Pas dilihat seperti akan terperangkap oleh pilihannya sendiri, hujung cerita akhirnya telah menjadi milik dan satu jawaban kukuh buat Pas,” ujarnya.

Katanya; “Saya berani menyatakan usaha Pas tersebut mendapat sokongan sepenuhnya umat Islam adalah kerana ianya telah disokong dan digerakkan oleh tiga institusi utama yang terbina di dalam masyarakat iaitu orang Umno, orang Pas dan NGO-NGO muslim. Adapun kewujudan bantahan daripada beberapa kelompok kecil umat Islam yang bersatu bersama kumpulan non muslim yang memusuhi Islam, maka ia adalah tertolak dan tidak dikira mewakili suara besar umat Islam.”

Menurut Nik Abduh, demi menyelamatkan dan mengurangkan ketegangan  dalam Barisan Nasional, Umno terpaksa menyerahkan kembali hak pembentangan RUU 355 kepada Pas.

“Pas menerimanya kembali dengan penuh izzah dan kekuatan. Tiada calar walau sedikit,” tambahnya.

Kini, ujarnya lagi,  nyata fitnah adalah fitnah dan ia padam apabila tiada angin yang bertiup bagi menyokong dan memanjang temponya.

“Jika RUU 355 adalah senjata Umno untuk menipu dan merosakkan Pas, maka tiada perlu lagi Umno menyokong RUU 355 ini.

“Pakatan Rakyat sudah pun lama pecah dan berkubur manakala Pas  pun sudah bergolak besar sehingga tertubuh parti serpihan baru. Jika begitu, saat hasrat Umno dah tercapai, soalnya mengapa Umno masih memberi sokongan pada RUU 355?,” tambahnya.

“Jawapan mudah ialah Pas tak boleh dan takkan mampu ditipu mudah oleh Umno. Bahkan jawaban lebih tepat ialah Pas bukanlah pak turut kepada kehendak musuh agama Allah yang mahukan Pas mengubah hala tuju politiknya daripada menegakkan agama Allah kepada sekadar menjatuh Umno dan menggantikannya dengan sesiapa pun tanpa pertimbangan syarak yang benar,” jelasnya.

“Pas juga tidak akan mudah diperdayakan oleh sesiapa termasuk tukang fitnah yang mahukan Pas tunduk terhadap kemahuan mereka,” katanya. – Sarawakvoice