Antara soalan yang sering berlegar di kedai-kedai kopi, surau dan majlis kenduri sekarang ini ialah ‘bila PRU-14 akan diadakan?’ Apabila soalan yang sama menjadi pokok perbualan dan diajukan berulang kali, pasti ada yang istimewa mengenai subjek PRU-14.

Bagi negara yang mengamalkan sistem demokrasi, PRU ialah proses pembuatan keputusan yang amat luar biasa kerana melibatkan jutaan pengundi dan biasanya berlaku dalam tempoh empat atau lima tahun sekali.

Keputusan PRU akan menjawab persoalan siapa atau kumpulan mana dan parti mana yang telah diberikan mandat oleh rakyat untuk menubuhkan kerajaan. PRU  merupakan refleksi tentang bagaimana masyarakat memahami kuasa dan struktur kekuasaan. Siapa yang dipilih untuk berkuasa pada peringkat negeri dan pusat?

Sehingga kini, keputusan PRU di Malaysia  khususnya pada peringkat persekutuan masih berpihak kepada Barisan Nasional (BN) walaupun telah 13 kali diadakan. Namun begitu, jika diperhatikan pada pada peringkat negeri, pertukaran rejim politik berlaku menerusi proses PRU kali pertama lagi, iaitu di negeri Kelantan (1959).

Pertukaran rejim politik pada peringkat negeri juga berlaku di Sabah (1976, 1986 dan 1994), Kelantan (1978, 1990 hingga kini), Terengganu (1999), Selangor (2008-kini), Perak (2008), Pulau Pinang (2008-kini) dan Kedah (2008-2013).

Kali terakhir PRU diadakan di Malaysia adalah pada 5 Mei  2013. PRU ke-13 mencatatkan pengundi berdaftar sebanyak 13,268,002 orang, satu peningkatan yang agak tinggi berbanding hanya 10,740,227 orang pengundi berdaftar semasa PRU ke-12.

Keputusan PRU ke-13 memperlihatkan parti penyandang, iaitu UMNO/BN masih kekal muncul sebagai pemenang dengan memperoleh sebanyak 133 kerusi parlimen daripada 222 kerusi yang dipertandingkan. Selebihnya, iaitu sebanyak 89 kerusi lagi dimenangi parti pembangkang yang bergabung dalam Pakatan Rakyat (PR).

Pada PRU ke-13, UMNO/BN berjaya mengambil alih teraju pemerintahan di negeri Kedah daripada PAS. Sementara itu, negeri Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang terus kekal di bawah penguasaan PR.

Semenjak PRU 13 merupakan kali kedua secara berturut-turut BN gagal mengekalkan kemenangan dua per tiga majoriti kerusi seperti yang mereka sentiasa peroleh sebelum ini.

Secara umum, kemerosotan pengaruh BN semasa PRU 12 dan 13 dikatakan banyak berpunca daripada populariti pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Malaysia.

Kepada mereka yang mengikuti politik Malaysia semenjak PRU 10 (1999), parti UMNO sebagai suatu ‘jenama’ sudah tidak lagi dapat dijual.

Sebab itu semasa PRU ke 11 (2004), UMNO bergantung kepada populariti pemimpin, iaitu Pak Lah menggantikan Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003.

Semasa PRU 12 (2008), Pak Lah sebagai ‘jenama’ sudah tidak lagi laku. Lantaran itu UMNO/BN menjual ‘jenama’ Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggantikan Pak Lah semenjak 2009.

Pada pemerhatian ramai penganalisis politik, selepas PRU 13 atau lebih ketara lagi semenjak akhir tahun 2015, ‘jenama’ Najib sudah tidak lagi laku seperti sebelumnya.

Berikutan itu, soalan yang sering ditanya menjelang PRU 14 ialah ‘apa lagi yang boleh dijual oleh UMNO/BN?’ – Sarawakvoice