Mohamad minta anggota parti laksana gerak kerja dengan baik untuk PRU14

SEREMBAN: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan meminta semua anggota parti melaksanakan gerak kerja dengan baik bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau yang juga Menteri Besar berkata ini bagi memastikan pentadbiran negara dan negeri kekal diterajui UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Datuk Seri Mohamad Hasan
“Bersiapsiagalah kita menghadapi PRU14 yang mana pilihan raya ini amat penting untuk BN terus mentadbir negara dan negeri.

“Kita kena pastikan pentadbiran negara kita akan tetap berada di tangan UMNO dan BN. Jangan kecewakan generasi Melayu yang bergantung harapan kepada kita,” katanya ketika berucap di Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Karnival Sukan UMNO Negeri Sembilan 2017 di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Dr Awaludin Said.

Seramai 1,500 ahli UMNO dari 10 bahagian hadir di majlis itu. – BERNAMA