Mehmet senyum lebar, puji aksi menghiburkan Sarawak-Perak

KUCHING: Senyum lebar. Itu yang terukir pada wajah Mehmet Durakovic usai pertemuan Sarawak dan Perak dalam aksi Liga Super malam kelmarin.

Puas hati bukan kerana berjaya mencuri satu mata setelah mengikat tuan rumah 3-3 tetapi gembira dengan aksi yang dipamerkan kedua-dua pasukan.

“Saya puas hati. Saya gembira kerana kedua-dua pasukan menunjukkan permainan bola sepak yang sebenar.

“Tiada aksi kekasaran melampau. Tiada lakonan atau bantahan tidak profesional. Tetapi bermain untuk menjaringkan gol,” katanya lagi.

Jelasnya, beliau memberikan kredit kepada skuad Bujang Senang itu atas aksi yang menarik dan menghiburkan selain gembira dengan satu mata yang diperolehi.

“Kami jaringkan tiga gol untuk malam ini, tetapi kami juga tewas tiga gol. Tiga gol yang menakjubkan!

Tegasnya, tiada istilah pasukan kuat atau pasukan lemah dalam aksi Liga Malaysia ini.

“Di sini mana-mana pasukan boleh menewaskan pasukan lain.

“Kalau kita berikan pemain 90 minit dan mereka gunakannya dengan baik, fokus, yakin…pastinya mereka boleh meranapkan pasukan lawan.

“Tetapi jika kita tidak fokus dan kelam kabut, kita akan dihukum.

Tegasnya, itu yang berlaku kepada pasukannya, yang hampir tewas kerana gagal memberikan sepenuh perhatian.

“Dua kali kami dihukum kerana kelalaian,” katanya lagi.

Apa pun katanya, beliau berpuas hati dengan aksi anak-anak buahnya di Bumi Kenyalang ini.

“Mereka bermain mengikut apa yang dirancang, kerana Sarawak memiliki hantaran jauh yang baik.

“Dan untuk aksi pada malam tadi, tiada apa yang saya tuntut melainkan kawalan yang ketat terhadap penyerang mereka yang tinggi.

“Kami pasti kalah kalau pertahanan kami lalai dan tidak fokus,” tambahnya. – Sarawakvoice