Kehadiran Abang Jo dan isteri ubati rindu anak Sarawak di London

LONDON,England: Sarawak telah memiliki penguasaan penuh ke atas Empangan Bakun sebagai tanda memiliki ‘power’ tetapi untuk menjadikan negeri yang ‘power’ kita memerlukan ‘brain power’ (kuasa intelektual) untuk menjamin kuasa yang lebih mantap.

Demikian amanat Ketua Menteri, Datuk Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg kepada pelajar Sarawak yang menuntut di universiti di sekitar London semasa bertemu mereka dalam kunjungannya ke sini baru-baru ini.

Ketua menteri hadir untuk Majlis Lan Berambeh London 2017 yang berlangsung dari jam 7.30 petang hingga jam 10 malam dengan ditemani isterinya, Datin Amar Dato Juma’ani Tuanku Bujang.

TERUJA….anak sarawak yang menuntut di luar negara teruja berjumpa ketua menteri

Program itu julung kali dilangsungkan dan akan dijadikan acara tahunan.

Sumbangan sebanyak £10,000 turut dihulurkan bagi tujuan penganjuran pada masa akan datang.

Menurut Abang Joe, kerajaan negeri mempertaruh harapan tinggi terhadap pelajar agar apabila tamat pengajian akan mampu menjadi modal insan penting bagi menyumbang khidmat bakti kepada tanah air tercinta.

“Kita harap pelajar sekalian akan jadi pelajar terbaik dan pulang dengan kecemerlangan untuk tanah air.

“Kerajaan amat mengharapkan pelapis muda yang bijak pandai bagi meneruskan perjuangan pemimpin sedia ada pada masa hadapan,” ujarnya.

Sementara itu pelajar Sarawak yang berada di sana melahirkan rasa terima kasih tidak terhingga atas kesudian ketua menteri dan isteri yang sudi menjenguk dan meluang masa bersama mereka.

Ketua menteri menyampaikan amanat kepada pelajar Sarawak di London

Nur Izzati Anuar, 20 tahun, pelajar jurusan kejuruteraan melahirkan rasa terharu dengan kehadiran ketua menteri.

“Kehadiran ketua menteri serta isteri bersama rombongan sedikit sebanyak mengubat rindu kami terhadap keluarga dan kampung halaman. Saya amat teruja bila dihidangkan dengan laksa Sarawak. Dah lama kami tak makan hidangan itu. Terubat juga kerinduan kami walaupun di rantau orang,”katanya.

Nur Syahira Juperi,20 tahun, yang merupakan pelajar perakaunan tahun 1 pula menggambarkan ketua menteri sebagai seorang yang sangat berjiwa rakyat dan mudah mesra.

Rebecca Anak Ini, 21 tahun, pelajar kejuruteraan tahun 2 , menyifatkan kerajaan Sarawak sangat istimewa amat prihatin dengan pelajar.

PRIHATIN… ketua menteri disenangi pelajar….

Manakala, Nurul Zulianna Alisha,21 tahun, pelajar perakaunan tahun 2 berharap mereka akan pulang dengan kejayaan besar dan membalas budi kerajaan dengan berbakti kepada tanah air apabila tamat pengajian kelak.

Seramai 80 pelajar berkumpul di Park City Grand Plaza, Kensington, London bagi meraikan majlis berkenaan.

Turut sama hadir bertemu pelajar bersama ketua menteri ialah Dato’ Ahmad Rasidi bin Hazizi, Datin Rosilawati Abdul Rafar.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Puan Sri Datin Amar Hajah Saptuyah binti Suib, Datuk Patinggi Tan Sri George Chan, Datin Patinggi Dato Lorna Chan, Tan Sri Datuk Amar Hj. Abdul Aziz Husain dan Puan Sri Datin Fredahanam Mahmud. – Sarawakvoice

TERUJA….anak sarawak yang menuntut di luar negara teruja berjumpa ketua menteri