Jokowi: Meski dipayungi, Raja Salman hanya melabur sedikit di Indonesia

JAKARTA: Presiden Joko Widodo  menzahirkan kekecewaannya apabila mengetahui bahawa Arab Saudi telah mengambil keputusan melabur AS$65 bilion di China, hampir 10  kali ganda jumlah dijanjikan untuk Indonesia, Rp 89 trilion ($6.71 billion)  meskipun telah diberi layanan istimewa.

“Saya terkejut apabila baginda berkunjung ke China, baginda menandatangani (kontrak lebih) Rp879 trilion [$65 bilion],”  kata Jokowi seperti dilapor Jakarta Post.

“Malah saya memayungi baginda, tetapi kita dapat jumlah kecil. Saya sedikit kecewa, hanya sedikit,” katanya.

Foto Presidential Palace, Indonesia

Ketika mengunjungi Bogor baru-baru ini, hujan lebat telah turun, dan Presiden Indonesia yang lebih dikenali sebagai Jokowi telah memayungi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud.

Tindakan beliau itu mendapat pujian daripada rakyat, termasuk netizen di media sosial.

Jokowi menyambut Raja Salman di Lapangan Terbang  Perdanakusuma  sebagai menghargai kunjungan baginda.

Malah, beliau mengosongkan jadualnya sepanjang tiga hari kunjungan negara baginda ke ibu kota negara 250 juta jiwa itu.

Namun, kata akhbar itu, apabila menyentuh soal perniagaan atau semangat persaudaraan Islam, ia bagai tidak diendahkan.

Ketika hujan turun di Bogor Jokowi menyifatkannya sebagai petanda baik, kerana hujan dianggap sebagai rahmat.

Sebelum kedatangan Raja Salman, menteri Indonesia optimistik Arab Saudi akan melabur $25 bilion.

Pelaburan langsung asing ke Indonesia daripada Arab Saudi hanya $900,000 pada tahun lalu, turun sebanyak $30 juta berbanding 2015. – Sarawakvoice