Enam tahi judi, seorang penjual loteri ditahan dalam Op Dadu di Kuching

KUCHING: Polis Kuching semalam meneruskan pelaksanaan Op Dadu dan menjerat enam tahi judi yang terlibat dalam pertaruhan lumba kuda haram.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai memberitahu, mereka diserbu sepasukan anggota Siasatan Jenayah itu di kaki lima Medan Selera Good Day, Jalan Sim Kheng Hong, dekat sini sekitar jam 3.40 petang.

“Mereka yang ditangkap ialah empat lelaki Cina yang berumur antara 41 hingga 51 tahun yang berasal dari Kenyalang Park dan dua lelaki Melayu berumur 50-an.

“Pasukan serbuan turut merampas dua unit telefon bimbit, kalkulator, satu keratan akhbar berbahasa Cina dan keratan kotak rokok jenama Era yang bertulis angka-angka dipercayai pertaruhan lumba kuda .

“Turut dirampas dua batang pen berwarna biru dan wang pertaruhan bercampur-campur berjumlah RM476.00.

Dalam operasi yang sama di lokasi yang lain, seorang wanita Iban dari Kota Samarahan dicekup kerana menjual loteri awam tanpa lesen.

“Wanita ini ditangkap sekitar jam 3.10 pagi bersebelahan restoran Biryani King, Jalan Rubber.

“Antara yang dirampas daripada wanita berusia 19 tahun ini ialah slip yang tercatat angka-angka disyaki nombor loteri haram awam tanpa berlesen, satu unit telefon bimbit, stapler, kalkulator, cop dan wang bercampur-campur berjumlah RM47.00.

Kata Abang Ahmad, kedua-dua kes masih dalam siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953. – Sarawakvoice