Dua rumah, sebuah Toyota Hilux musnah dalam kebakaran di Sibu malam tadi

SIBU: Dua jentera dan sebuah ambulans EMRS dikejarkan ke Jalan Bukit Penyau dekat sini awal pagi tadi bagi mengawal api yang menjilat dua buah rumah kediaman.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima maklumat insiden sekitar jam 1.22 pagi dan sepasukan 15 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sibu ditugaskan untuk melakukan pemadaman.

“Tiba di lokasi dalam tempoh sembilan minit, pasukan mengambil masa 16 minit untuk mengawal kebakaran.

Katanya, berdasarkan maklumat Komander Operasi, Mutalif Ja’far, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal 20 kaki x50 kaki kaki yang terbakar 70 peratus manakala sebuah lagi rumah tidak kekal 20 kaki x40 kaki terbakar 85 peratus.

Turut musnah, sebuah kenderaan Toyota Hilux.

Kata Ling Hii, siasatan awal mendapati tiada mangsa yang cedera.

“Punca kebakaran sedang dikenal pasti oleh pasukan forensik kebakaran,” katanya lagi. – Sarawakvoice