Dilibas dengan samurai, seorang lelaki parah, penyerang dicekup polis Kuching

KUCHING: Kerana perbalahan keluarga, seorang lelaki parah selepas ditetak menggunakan parang samurai oleh seorang kenalan keluarganya.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai, insiden dilaporkan oleh bapa mangsa, sekitar jam 9.30 malam tadi.

“Mangsa yang berusia 27 tahun kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak berikutan kecederaan pada tangan kanannya.

“Penyerang dikatakan turut merosakkan kenderaan milik mangsa.

Bertindak atas laporan tersebut kata Abang Ahmad, sekitar jam 11.35 malam, sepasukan anggota polis yang diketuai Ketua Balai Tabuan Jaya telah menyerbu dan menahan seorang lelaki Cina, berumur 59 tahun yang tinggal di Tabuan Laru untuk membantu siasat.

“Pasukan serbuan turut merampas sebilah pedang samurai berukuran 84cm yang dipercayai senjata yang digunakan,” katanya lagi.

Kes kini masih dalam siasatan, terutama untuk mengenal pasti motif dan punca.

Ia diklasifikasi di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, tambahnya lagi. – Sarawakvoice