Chong pulang dari Pattaya, mengadu diculik…

KUALA LUMPUR: Pada Ahad, sekitar 1 petang, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Twitter memberitahu Peter Chong sudah pulang dari Pattaya, Thailand ke Malaysia.

“Syabas @PDRMsia Kuala Lumpur. Peter Chong yang ‘hilang’ kembali dari Pattaya tengah hari ini,” tulis Khalid di media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata, bekas Anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu tiba dari Pattaya sekitar 12 tengah hari menaiki pesawat Malindo Air.

Memberitahu Bernama Rusdi berkata, sejurus tiba, pihak polis mengambil keterangan daripadanya bagi melengkapkan kertas siasatan berkaitan kehilangan Chong sejak 5 April lalu.

Sementara, memetik laporan FMT pada Ahad, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata Chong yang juga bekas pembantu Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa, mengaku dirinya diculik dan dibawa ke Pattaya.

Chong yang hilang selama 11 hari mendakwa dia memasuki Thailand bagi berjumpa individu yang mengaku mempunyai maklumat berkaitan penculikan Pastor Raymond Koh.

“Setelah dibebaskan, dia menghubungi anaknya yang membeli tiket pulang,” kata Amar Singh.

Sebelum ini, Darryl anak Chong membuat laporan polis berkaitan kehilangan bapanya 8 April lalu selepas usaha menghubunginya gagal.

Kes itu kemudiannya diklasifikasikan sebagai kes orang hilang dan polis Kuala Lumpur menubuhkan pasukan petugas menyiasat kes.

Pada 31 Mac lalu, Chong sempat menulis di Facebook mendakwa didekati individu tidak dikenali yang memintanya “berhati-hati” selepas berlaku beberapa kes kehilangan aktivis di tanah air.

Polis bagaimanapun mendapati Chong dikesan menaiki bas memasuki Thailand melalui Bukit Kayu Hitam pada 7 April. – Sarawakvoice