Banjir kilat: DBKL digesa jalankan kerja pembaikan

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (DPPWP) menggesa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan kerja-kerja pembaikan untuk mengatasi masalah banjir kilat di sekitar Kuala Lumpur.

Ketua DPPWP Mohd Farkhan Md Zain berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, sejak tahun 2015, DBKL telah menerima peruntukan RM600 juta untuk projek-projek pembaikan dan menaik taraf.

“Walaupun begitu, situasi semasa menunjukkan keadaan tidak bertambah baik. Hal ini menimbulkan keraguan mengenai peruntukan dan projek yang telah dilakukan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Gambar fail

Selain banjir kilat di lokasi-lokasi tertentu, beliau berkata, pihak DPPWP turut mendapati banyak jalan utama di Kuala Lumpur menghadapi masalah takungan air yang agak serius akibat hujan lebat.

“Perkara ini sangat merbahaya bagi pengguna-pengguna jalan raya,” ujarnya.

Intensiti hujan yang tinggi akhir-akhir ini telah menyebabkan beberapa lokasi berlaku banjir kilat.

Pada 14 Mac, umpamanya, sembilan jalan utama di Kuala Lumpur  dinaiki air dan menjejaskan kelancaran trafik.

Katanya, rakyat di Kuala Lumpur juga bimbang hujan lebat yang kerap turun akan menjejaskan kawasan-kawasan cerun di sekitar Kuala Lumpur.

Berdasarkan Kuala Lumpur Slope Information System (KuLSIS), bandar raya ini mempunyai lebih 1,700 kawasan cerun berisiko runtuh manakala 600 daripadanya adalah sangat berisiko tinggi.

“Sekiranya tiada tindakan agresif dan proaktif dilakukan oleh pihak DBKL, kawasan-kawasan di Segambut, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak akan berhadapan risiko tanah runtuh yang kritikal,” tambahnya.

Tegasnya, pihak DBKL dan juga Kementerian Wilayah serta kontraktor-kontraktor yang dilantik  perlu segera mengambil tanggungjawab sebelum kecelakaan jiwa dan harta benda berlaku. – Sarawakvoice