Bahasa Melayu perlu dikuasai semua kaum di negara ini, bukan saja oleh orang Melayu

KUALA NERANG: Kementerian Pendidikan akan mencari kaedah bagi memperkasakan penguasaan Bahasa Melayu di semua sekolah khususnya sekolah vernakular sebagai medium perpaduan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kaedah tersebut lebih kepada memperkukuhkan program dan silibus tertentu ke arah mempertingkatkan perpaduan integrasi nasional.

“Kami akan mencari kaedah untuk memperkasakan bahasa Melayu melalui program-program kenegaraan kepada semua sekolah terutamanya sekolah vernakular.

“Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil perlu menguasai bahasa Melayu dan perlu terlibat dengan lebih banyak program berbentuk negara bangsa,” katanya selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk di Kampung Kuala Tekai, di sini, semalam.

Beliau berkata ia selaras dengan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ingin memastikan pelajar sekolah aliran Cina dan Tamil mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik dalam memperkukuhkan perpaduan negara.

Mahdzir berkata Bahasa Melayu tidak sepatutnya hanya dikuasai oleh kaum Melayu sahaja, malah ia perlu  dikuasai oleh semua kaum di negara ini dalam memupuk semangat negara bangsa yang jitu.

“Tak boleh Melayu sahaja yang cakap pasal negara bangsa, semua kaum juga perlu. Kalau bahasa Melayu sendiri pun tidak boleh kuasai, yang lain apatah lagi.

“Pihak sekolah perlu memainkan peranan di sini dengan melibatkan pelajar-pelajar dengan lebih banyak program dan aktiviti yang melibatkan hal kenegaraan,” katanya.

Mahdzir berkata guru Bahasa Melayu juga perlu menjalani kursus dan latihan semula bagi meningkatkan penguasaan dalam bahasa itu.

“Guru-guru dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang khusus dalam subjek Bahasa Melayu akan turut menjalani kursus pendek bagi mempertingkatkan bahasa ¬†Melayu bagi membolehkan proses pengajaran di sekolah berjalan lancar,” katanya. Bernama