Satu daripada perkara penting yang bakal ditekankan dalam TN50 ialah mewujudkan budaya tinggi. Menurut Perdana Menteri beliau inginkan masyarakat Malaysia yang moden.

Impian Datuk Seri Najib Razak itu perlu disokong semua pihak.  Menurut Najib, pembentukan masyarakat berbudaya tinggi adalah satu daripada komponen penting yang perlu dijayakan dalam TN50, seiring kemajuan ekonomi, teknologi dan prasarana.

Masyarakat moden bukan sahaja diukur dari segi bangunan yang moden, jalan raya dan lebuh raya yang canggih, dan segala kemudahan yang hebat.  Sebaliknya, kemodenan dan kehebatan sesuatu bangsa juga diukur dari segi sikap.

Masyarakat yang maju ialah masyarakat yang berdisiplin dari serba-serbi. Adakah rakyat kita sudah bersedia untuk mengubah sikap daripada masyarakat yang kurang disiplin kepada masyarakat yang berdisiplin?

Tengok sahaja, adakah anda menepati waktu untuk sesuatu acara atau temu janji, termasuk menghadiri mesyuarat? Masyarakat Jepun terkenal dengan disiplin menepati masa. Tetapi bagi kita di negara ini, kita akan memberi pelbagai alasan apabila lewat menghadiri mesyuarat atau sesuatu acara.

Adakah menteri dan pemimpin politik kita menepati masa?

Selain itu, disiplin juga perlu dilihat dari segi perangai dan tabiat kita ketika menggunakan tandas awam. Sebahagian rakyat Malaysia tidak pandai menggunakan tandas. Sebab, selepas menggunakan tandas, mereka biarkan orang lain lihat ketul-ketul yang ditinggalkan. Mereka tidak ada disiplin untuk mengempamnya. Mereka langsung tidak ada hati perut. Mereka biarkan ‘tahi’ mereka untuk dilihat oleh orang lain. Itu belum lagi bercakap tentang kebersihan tandas awam kita pada keseluruhannya.

Sikap rakyat Malaysia ini memang pelik dan aneh. Di rumah mereka pandai pula membersihkan tandas, tetapi apabila menggunakan tandas awam, mereka menjadi tidak berdisiplin.

Satu lagi perangai buruk rakyat Malaysia adalah dari segi membuang sampah sesuka hati  termasuk di kawasan bandar dan di jalan.

Mereka membuang sampah seolah-olah jalan raya itu tong sampah dan kawasan bandar itu tong sampah. Mereka langsung tidak kisah.

Mereka tidak ada rasa malu. Sedangkan agama mereka ajar mereka supaya utamakan kebersihan.

Bagaimana pula sikap mereka ketika memandu di jalan raya?

Adakah mereka berdisiplin atau mereka tidak kisah hak orang lain. Mereka memandu laju bagai dikejar pelesit. Disebabkan sikap buruk di jalan raya, maka kadar kemalangan dan kecelakaan di jalan raya yang mengorbankan banyak nyawa juga tinggi di negara ini.

Semuanya kerana mereka tidak mengamalkan nilai positif atau nilai murni.

Jadi, tidak usahlah menganggap diri atau masyarakat atau negara sebagai moden jika nilai-nilai murni yang sepatutnya diamalkan tidak diamalkan.

Amalan rasuah dan salah guna kuasa juga agak berleluasa di negara kita. Bukti kemodenan dan budaya tinggi ialah membenci rasuah dan salah guna kuasa. Kos projek menjadi tinggi dan projek tidak ikut standard yang sepatutnya, termasuk jalan raya dan bangunan, sebahagiannya kerana sikap buruk itu. Adakah negara ini akan menjadi bersih rasuah dalam 30 tahun lagi?

Justeru, perkara yang ingin kita lihat dan diamalkan oleh rakyat Malaysia ketika itu nanti ialah budaya tinggi dan nilai-nilai mulia.

Semuanya perlu diterapkan dari rumah dan sejak di bangku sekolah rendah lagi. – Sarawakvoice