Tentera US, Malaysia dan Australia bersatu laksana program komuniti di Kuching

KUCHING: Program Jiwa Murni Komuniti (Comunity Relation – COMREL) Eksesais Pacific Partnership 2017 (PP17) berlangsung meriah semalam, dengan anggota yang terlibat mengedarkan barangan berbentuk makanan kepada warga emas, kurang upaya dan miskin di beberapa kawasan terpilih.

Sebanyak 250 bungkusan makanan berjaya disedia dan diagihkan.

Program ini adalah kerjasama PP17 dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Society Of Kuching Urban Poor (SKUP).

Antara kawasan agihan termasuklah di Pasar Petanak, Pasar Sungai Maong, Pasar Sungai Apong, Green Road dan Kampung Kudei.

Turut terlibat dalam program ini adalah empat pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 10 anggota Marin dan Tentera Laut Amerika Syarikat, dan dua pegawai Tentera Udara dan Tentera Laut Australia.

Terdahulu, peserta Eksesais Pacific Partnership 2017 ini melakukan aktiviti membuat sandwich dan membungkus makanan yang akan diedarkan di Christian Ecumenical Worship Centre, dekat sini.

Turut serta dalam program tersebut ialah Archbishop Simon Poh, Ketua Paderi Kuching dan Fabian Wong, Setiausaha SKUP.

Para penerima kelihatan amat gembira kerana pertama kali menerima makanan yang diedarkan oleh tentera asing dalam program seperti ini.

Program seperti ini sebenarnya mendekatkan tentera terutamanya ATM dan peserta PP17 dengan masyarakat yang amat memerlukan bantuan.

Hari ini program ini diteruskan dengan aktiviti derma darah di Plaza Merdeka bermula jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang.

Ia kemudian diteruskan dengan acara hiburan oleh 7th Fleet Band bermula jam 2.00 hingga 5.00 petang. – Sarawakvoice