Sarawak sahut cabaran julang Piala Tun Sharifah Rodziah

MIRI: Siti Rohani Sabtu muncul wira apabila membantu Sarawak mencetak nama sebagai pemenang edisi ke-30 Piala Tun Sharifah Rodziah di Stadium Bandaraya Miri petang tadi.

Detik kemenangan itu muncul pada minit ke-36 apabila Siti Rohani pantas memanfaatkan hantaran ke belakang kapten Kedah yang lemah untuk gol tunggal kejohanan.

Aksi berbaki menyaksikan Sarawak kental berkubu mempertahankan jaringan yang diperoleh.

Malah penjaga gawang Sarawak Asma Junaidi juga berjaya mengecewakan beberapa percubaan Kedah, yang kebanyakannya dibarisi pemain Kota Setar, yang sebelum ini muncul juara sulung Liga Bola Sepak Rakyat Wanita Kebangsaan.

Bagaimanapun tamat 70 minit masa permainan, anak-anak buah Mohammad Hakimi Man kekal dengan gol kemenangan tersebut, yang sekali gus menamatkan penantian 32 tahun pasukan tersebut untuk menggenggam piala tersebut.

Kemenangan di hadapan lebih 3,000 penyokong ini cukup manis, kerana ia membolehkan pasukan Bujang Senang membawa pulang hadiah RM20,000 selaku juara.

Ini tidak termasuk “habuan istimewa” yang dijanjikan Presiden FAS, Datuk Posa Majais.

Tempat ketiga pula diraih PDRM yang membelasah Pahang 4-1 dalam aksi di Padang Rekreasi Petroliam.

Sementara itu, bagi Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan kejayaan itu sebagai lembaran baharu dalam bola sepak Sarawak.

“Ia bukan mudah bagi mereka kerana pasukan ini tidak disandarkan sebarang harapan pun sebelum ini, berbanding nama-nama besar seperti Misc-Mifa, Sabah dan PDRM.

“Dan ia juga satu sejarah kerana sebelum ini pun, paling jauh kita berjaya adalah di peringkat separuh akhir.

Kata Karim, beliau berterima kasih kepada pengurus pasukan, ASP Kushairy Bujang, jurulatih Mohamad Hakimi, pihak FAS dan para penyokong di Miri yang telah datang beramai-ramai ke stadium untuk memberi sokongan.

Kemenangan ini katanya, membuktikan bahawa atlet Sarawak boleh cemerlang sekiranya dilatih dan dibimbing dengan baik.

“Usaha ini selari dengan aspirasi kita untuk menjadikan Sarawak sebagai ‘kuasa sukan’ dan menjadi juarai di peringkat kebangsaan,” katanya lagi. – Sarawakvoice