Rafizi tidak gentar disaman Nasharudin

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak gentar jika  Datuk Dr Nasharudin Mat Isa  yang  semalam dituduhnya menerima dana daripada 1MDB  mengambil tindakan perundangan terhadapnya, malah beliau menegaskan itulah masa yang ditunggu-tunggu.

Jika bekas Naib Presiden Pas itu  ingin menyaman beliau, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau akan menunggu untuk menyoal siasat  Nasharudin di dalam kandang saksi kerana orang yang menyaman ialah orang yang pertama yang perlu  memberi keterangan di dalam kandang saksi.

“Saya ada beratus-ratus soalan yang akan ditanyakan mengenai penglibatan beliau dalam melobi pimpinan Pas supaya menjadi lunak dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, sehingga Pas dilihat tidak lantang memperjuangkan keamanahan Perdana Menteri dalam skandal 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, sementara menunggu proses saman yang mungkin memakan masa, beliau menyarankan Nasharudin  mengambil jalan yang lebih mudah dan menunjukkan keyakinan kepada ‘kebenaran yang kita pegang’.

“Saya sarankan Nasharudin membuat satu akuan berkanun mengisytiharkan semua harta, pendapatan dan sumbangan kepada beliau secara peribadi serta semua organisasi yang beliau terajui seperti Yayasan Nassar dan mana-mana projek lain,” katanya.

Katanya, kalau Nasharudin juga yakin beliau tidak menerima satu sen pun dari mana-mana sumber yang berasal dari SRC Internasional Sdn Bhd, beliau perlu mengisytiharkan pendapatan, harta dan semua sumbangan yang diterima beliau dalam bentuk akuan berkanun dengan segera

Kata Rafizi lagi, Nasharudin juga perlu perincikan di dalam akuan berkanun bagaimana harta, pendapatan dan sumbangan ini dibelanjakan dan kepada siapa wang yang disumbangkan kepada beliau dibelanjakan.

Semalam, Nasharudin menafikan ada kaitan berhubung dakwaan Rafizi yang mengaitkan beliau dengan isu penerimaan dana tersebut, malah menyifatkan  kenyataannya itu adalah fitnah dan berniat jahat kepadanya dan Pas. – Sarawakvoice