Pengarah Kesihatan Sarawak nafi kes wabak HFMD di Pusat Akuatik Pandalela Rinong, hanya satu kes dicatatkan

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak hari ini mengesahkan hanya satu kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di bandar raya ini, bukan tiga kes termasuk melibatkan dua kanak-kanak seperti yang ditularkan media sosial.

Pengarahnya, Dr Jamilah Hashim berkata, pihaknya telah melakukan siasatan segera dan terperinci berhubung perkara tersebut, berikutan penularan berita bahawa kes tersebut merebak selepas mangsa berenang di Pusat Akuatik Pandalela Rinong di Petra Jaya.

Dr Jamilah Hashim

“Kes yang disahkan itu melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.

“Benar, kanak-kanak terbabit telah berkunjung ke pusat terbabit tiga atau empat minggu sebelum simptom HFMD dikesan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tetapi harus difahami, tempoh inkubasi HFMD adalah sekitar empat ke enam hari.

“Oleh itu, tidak mungkin kanak-kanak tersebut menerima jangkitan selepas berenang di pusat akuatik tersebut.

Susulan kes itu juga katanya, pemeriksaan lanjut turut dilakukan di tadika yang dihadiri kanak-kanak tersebut dan mendapati tiada seorang pun daripada rakan sekelasnya mempunyai simptom HFMD.

“HFMD bukan wabak bawaan air. Sebaliknya jangkitan berlaku apabila berlakunya sentuhan langsung pada hingus yang tercemar, air liur, najis dan cecair daripada ruam mereka yang dijangkiti.

Kata Jamilah, sebagai langkah berjaga-jaga, pihaknya juga telah mengambil sampel air dari kolam tersebut, dan masih menunggu keputusan makmal.

“Aktiviti pengklorinan kolam adalah di bawah pengurusan pusat akuatik dan
Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching telah memaklumkan pihak pengurusan untuk memastikan tahap klorin dikawal mengikut standard yang ditetapkan.

Pada masa yang sama katanya, pihaknya turut melaksanakan pendidikan kesihatan kepada ibu bapa, petugas pusat tersebut dan kakitangan tadika berhubung wabak tersebut. – Sarawakvoice