Nenek meninggal selang sehari cucu maut dalam kemalangan

KABONG: Hanya berselang sehari, nenek kepada cucu yang terbabit dalam nahas jalan raya di Sri Aman pagi Khamis lalu meninggal dunia kira-kira jam 6.05 petang semalam.

Allahyarham, Sidah Kali, 83 tahun, sebelum itu mendapat rawatan di Hospital Sarikei dan dibawa pulang ke kediamannya di Kampung Hilir di sini apabila keadaanya agak tenat.

Allahyarham yang tiba di kediamannya jam 1.30 petang seterusnya meninggal kira-kira jam 6.05 petang.

Anak Allahyarham, Morni Ghani, 58 tahun, memberitahu sebelum meninggal ibunya sempat diberitahu mengenai berita kemalangan yang menimpa cucunya yang sedang dalam perjalanan pulang untuk menziarahinya di hospital.

“Walaupun tidak bercakap Allahyarham mengangguk kepala ketika diberitahu berita sedih yang menimpa cucunya dan turut mengalirkan air mata,” ujarnya.

Morni ialah ayah kepada Jamaiyah, 32 tahun, yang maut bersama anaknya dalam kemalangan di jalan Sri Aman lalu.

Morni turut memberitahu, terdapat dua buah kereta yang bertolak serentak dari Kuching secara beriringan dengan kereta Allahyarham anaknya sebelum kejadian.

Bagaimanapun, kereta yang dinaiki sebuah lagi keluarga berada di hadapan dan hanya menyedari tentang kemalangan melibatkan keluarga mangsa setelah sampai di simpang Sri Aman.

Mereka seterusnya berpatah balik sebaik dimaklumkan tentang kejadian dan membantu menguruskan mangsa.

Jamaiyah adalah anak sulung daripada lapan orang adik-beradik yang mengikut suaminya dan menetap di Kuching.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi Jumaat, kereta Proton Wira yang dipandu oleh suami mangsa telah merempuh bahagian belakang sebuah lori yang berhenti di salah satu lorong jalan raya ketika itu.

Kereta berkenaan terperosok di belakang lori kargo yang sedang diparkirkan di tepi laluan memotong tersebut.

Insiden tersebut mengorbankan Jamayiah binti Morni,32 tahun, yang tersepit di bahagian penumpang hadapan.

Turut maut dalam insiden itu anaknya Jyma’atun Khodijah Binti Mohd. Rezal, 3 tahun.

Jenazah dua beranak malang itu dikebumikan pada kira-kira jam 6 petang Jumaat.

Manakala jenazah neneknya, Sidah Kali diuruskan dikediamannya dan dikebumikan pagi ini. – Sarawakvoice

Orang kampung dan jiran menziarahi rumah Allahyarham Sidah Kali,83.
Orang kampung yang membantu menguruskan pengebumian jenazah
Morni Ghani,58 tahun ayah Jamaiyah.
Jenazah Allahyarham diusung untuk diuruskan dikediamannya.