Malaysia bebas gelandangan tegar, hanya dipenuhi gelandangan sementara

KUCHING: Malaysia sebenarnya bebas daripada sebarang kes gelandangan tegar, jika mengikut takrifan global.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim berkata, sebaliknya gelandangan yang ada di negara ini, terutamanya di Sarawak hanya bersifat sementara, yang masih memiliki keluarga atau rumah asal.

“Tidak ada yang tidak ada rumah langsung atau tidak punyai keluarga. Tetapi mereka berada di jalanan kerana pelbagai faktor,” katanya lagi selepas mengadakan lawatan ke Anjung Singgah di sini semalam.

Faktor inilah yang diambil kira, yang kemudian disaring atas nilai kemanusiaan, sebelum akhirnya ditempatkan di lima Anjung Singgah di seluruh negara, katanya.

Jelas Rohani, sejak April 2011 sehingga Februari lalu, sejumlah 33, 652 orang gelandangan telah didaftarkan di Anjung Singgah yang dikendalikan Yayasan Kebajikan Negara.

“Daripada jumlah itu, 29,547 kes telah dirujuk untuk mendapatkan bantuan sosial dengan pelbagai agensi lain manakala 4,105 lagi didaftar masuk ke dalam penempatan sementara itu, sementara 307 kes dirujuk kepada pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan.

Kata Rohani, semua kes yang ditangani oleh Anjung Singgah perlu melalui saringan kesihatan dan proses kaunseling.

“Kerana itu, seramai 1,086 kes berjaya ditangani dengan peserta kembali kepada keluarga atau kampung, manakala 1,824 memperoleh pekerjaan hasil usaha pengurusan Anjung Singgah, sementara 839 kes memperoleh pekerjaan hasil usaha sendiri.

Rohani menambah, terdapat beberapa kes unik seperti di Johor, apabila gelandangan ini hanya menumpang tidur dan kemas diri kerana mereka sebenarnya sudah mempunyai pekerjaan di Singapura.

“Mereka memilih Anjung Singgah kerana sewa rumah yang mahal, dan akhirnya dinasihatkan untuk mendapatkan rumah sewa,” tambahnya lagi.

Ketika ini terdapat lima Anjung Singgah di seluruh negara sejak ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 9 April 2011.

Anjung Singgah lain ialah di Sarawak, Johor, Pulau Pinang dan Johor.

“Kesemua Anjung Singgah ini menghimpunkan 288 katil.

“Satu lagi pusat penempatan serupa sedang dibangunkan di Sabah,” tambahnya lagi.

Pada sidang media yang sama, Rohani turut mengalu-alukan peruntukan RM1 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bagi membolehkan Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan OKU (PLPP) menyediakan mesin yang lebih besar dan canggih untuk kegunaan pesertanya.

Kementerian katanya, sememangnya mempunyai perancangan untuk menubuhkan PLPP di Sabah, manakala Sarawak telah memiliki pusat serupa, dan kini menjalinkan kerjasama dengan PLPP. – Sarawakvoice